GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Syarifah Dayana Syed Bakri

Bulan lalu saya menerima jemputan beberapa acara previu bufet Ramadan. Seperti kebanyakan jemputan lain, saya juga teruja melihat makanan yang pelbagai jenis.

Seperti biasa, perangai manusia apabila perut kosong, semua makanan mahu dirasa sedangkan perut yang kecil hanya boleh menerima sebahagian isi saja.

Akhirnya pinggan yang penuh dengan aneka hidangan terbiar begitu saja. Saban tahun isu pembaziran makanan pada Ramadan menjadi topik yang menyakitkan hati.

Belum tiba Ramadan pun, tapi pembaziran makanan pada majlis makan sempena Ramadan sudah bermula.

Syukurlah kita masih boleh memilih nak makan apa atau di mana.

Sedangkan saudara kita di Palestin kini berdepan perkara paling menakutkan apabila setiap hari ada saja berita kematian akibat kebuluran khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi bayangan bahawa kebuluran hampir tidak dapat dielakkan.

Di sebuah hospital, sekurang-kurangnya 15 kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran dan dehidrasi setiap hari.

Media asing turut merakam imej bayi yang kurus kering dengan mata cengkung dan muka kurus.

Pekerja PBB yang melawat hospital di utara Gaza buat kali pertama sejak Oktober mendapati paras kekurangan zat makanan yang teruk, kanak-kanak mati kelaparan, kekurangan bahan api yang serius, bekalan makanan dan perubatan, bangunan hospital musnah.

Di seluruh Gaza, 90 peratus kanak-kanak berumur antara enam dan 23 bulan, serta wanita hamil dan menyusukan bayi menghadapi kemiskinan makanan yang teruk, menurut laporan yang dikeluarkan Kluster Pemakanan Global.

Ia mendapati sekurang-kurangnya 90 peratus kanak-kanak bawah lima tahun terjejas oleh satu atau lebih penyakit berjangkit.

Imad Dardonah, pakar pediatrik di Hospital Kamal Adwan, satu-satunya hospital pediatrik di utara Gaza, memberitahu AFP, kakitangan mempunyai bekalan untuk hanya merawat kira-kira separuh daripada kes yang diterima.

Katanya, pihaknya tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan kepada pesakit kecuali memberi larutan garam atau gula.

Doktor itu berkata, jika keadaan itu berpanjangan ia akan membawa kepada akibat jangka panjang seperti pertumbuhan terbantut, keupayaan untuk belajar berkurangan dan sistem imun yang lemah.

Berdasarkan laporan sebelum ini, secara purata, terdapat hanya 1.5 liter air untuk setiap seorang di Gaza bagi kegunaan harian untuk menampung semua keperluan termasuk untuk minum, mandi dan membersihkan diri.

Sementara wanita hamil dan ibu menyusu anak memerlukan pertambahan 7.5 liter air bersih bagi memastikan diri dan bayi mereka berada dalam keadaan sihat.

Penyelaras Advokasi dan Komunikasi di ActionAid Palestine, Riham Jafari berkata, tiada kata-kata untuk menggambarkan betapa teruknya situasi yang terpaksa ditanggung oleh penduduk Gaza.

Katanya, seluruh penduduk kelaparan, tetapi wanita hamil dan ibu yang menyusu bayi serta anak mereka adalah yang paling menderita.

Dr Ahmad Salem, yang bekerja di unit rawatan rapi berkata, salah satu faktor kematian kanak-kanak yang tinggi adalah kerana ibu yang baru melahirkan mengalami kekurangan zat makanan.

Ia mengakibatkan ibu tidak boleh menyusukan anak mereka. Malah, hospital tidak mempunyai susu formula menyebabkan banyak kematian bayi dan kanak-kanak di unit rawatan rapi.

Menurut WHO, 95 peratus isi rumah mengurangkan bilangan hidangan dan jumlah makanan yang diambil dengan 64 peratus isi rumah hanya makan satu hidangan sehari.

WHO berkata lebih 95 peratus isi rumah menegaskan mereka telah mengehadkan jumlah makanan yang dimakan orang dewasa untuk memastikan kanak-kanak kecil mempunyai makanan.

Tinjauan di utara wilayah itu menunjukkan bahawa satu daripada enam kanak-kanak di bawah umur dua tahun mengalami malnutrisi akut.

Di saat Ramadan bakal menjelma beberapa hari lagi, tinggi harapan saya agar kita semua bersederhana menjamah makanan ketika bersahur dan berbuka puasa.

Usahlah membazir. Ingatlah saudara kita di bumi Gaza yang entah apa hidangan untuk mengalas perut mereka sepanjang Ramadan ini.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 6:00 AM