HIDUP bukan untuk puaskan hati semua orang. Maka, jalanilah hidup dengan cara dan acuan kita sendiri dengan berbahagia seadanya.
HIDUP bukan untuk puaskan hati semua orang. Maka, jalanilah hidup dengan cara dan acuan kita sendiri dengan berbahagia seadanya.
Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

HENDAK mendengar ceramah agama di masjid bagi anak muda masa kini, memang ramai tak sempatlah gayanya.

Apa lagi yang hendak dibuat pada zaman berlari maju dengan gaya hidup masa kini selain tangan tidak pernah lekang memegang telefon bimbit dan masa lapang yang banyak digunakan untuk membelek pelbagai aplikasi dan kemahuan diri.

Walaupun ada ketikanya di luar kemampuan diri, ada yang menghabiskan masa menyemak gambar atau senarai barang terkini hendak dibeli melalui portal e-dagang, jualan dalam talian dan sebagainya.

Adalah juga sekali-sekala mendengar ceramah agama atau pautan berunsur agama melalui TikTok atau aplikasi lainnya. Inilah gaya hidup zaman milenium dan kita sebagai warga lama tidak boleh marah atau iri hati dengan mereka.

Kita sendiri pun melihat dunia masa kini sehinggakan di hadapan Kaabah bertawaf, ramai sahaja orang membuat panggilan video dan berswafoto sambil bercakap-cakap dengan teman atau rakan taulan. Inilah 'dunia oh dunia' pada masa kini.

Penulis bukan mahu mempersoalkan penggunaan gajet pada masa kini, tapi persoalannya, adakah yang memberi ceramah di TikTok itu benar-benar bergelar ustaz berkelayakan dan bertauliah atau seorang yang hanya mahu like atau contentnya mendapat publisiti sahaja, kita pun tidak tahu.

Jadi, pesan penulis, jika hendak mendengar ceramah agama melalui aplikasi media sosial, sila pastikan yang mengajarnya adalah yang benar-benar bertauliah atau yang diluluskan oleh jabatan agama Islam.

Penulis tidak menyalahkan pembaca jika ingin mendengar, tapi kita sudah matang dan berfikiran waras, tapis-tapislah dan jangan menuruti apa yang tidak baik.

Penulis faham ada ada masanya kita ada masa terluang dan mungkin sunyi serta perlukan sesuatu seperti mendengar nasihat, ceramah atau lainnya yang berunsur kebaikan dalam diri. Ada masanya kita akan merasa 'semak' atau serabut dan tidak bermaya dalam menjalani kehidupan dan lelah layu sehingga rasa malas mula timbul.

Kita sendiri tidak tahu puncanya, tetapi sebagai manusia, tidak akan lepas daripada perasaan sedemikian dan terpulanglah untuk menilai sesuatu yang baik dan buruk dengan menghadamkannya dalam benak pemikiran dengan tapisan sempurna dan ambil segala yang baik untuk pedoman meneruskan kehidupan ini.

Apa yang perlu kita buat apabila diselubungi perasaan 'semak' atau serabut:

  • Berhenti bergantung kebahagiaan daripada orang lain. Dalam erti kata paling mudah, keluar dari zon selesa, kebahagiaan dan ketenangan hidup yang kita bina, reka cipta sendiri adalah lebih baik disebabkan kebahagiaan yang ikhlas bukan berpura-pura kerana kita yang merekanya dengan cara sendiri.

  • Percaya pada diri sendiri dengan penuh berkeyakinan hati apabila segala keyakinan itu akan membuatkan orang akan berfikir dua atau tiga kali untuk mengenakan atau menyanggah kita.

  • Tiada masalah bagi orang yang tidak suka kita. Lumrah alam tidak semua orang akan suka kepada kita walaupun berjuta kebaikan yang kita buat dan lakukan. Itu sudah lumrah alam dan tidak perlu untuk membuat semua orang suka kepada kita, apa yang perlu kita buat dan beritahu diri sendiri dengan penuh yakin adalah 'aku tiada masalah dalam hidup aku' kerana hanya seorang dua tidak suka aku sedangkan beratus lagi menyukai aku.

  • Beranikan diri untuk berkata 'aku adalah aku', aku tidak berjaya melalui kebahagiaan orang lain atau aku tidak senang dengan pertolongan orang lain. Aku hidup dengan usaha dan titik peluhku sendiri, aku tidak perlu takut dengan orang lain dalam hidup dan bahasa senangnya 'beras aku yang beli', jika susah aku yang berlapar bukan meminta dari kamu.

  • Jika kita mahu berubah, pastikan untuk diri sendiri iaitu memperbaiki hidup dan jalan hidup sendiri, bukannya berubah agar diterima oleh orang lain atau supaya diterima dalam kelompok masyarakat atau setempat. Mengapa mahu berubah demi orang lain kerana ia akan membuatkan kita akan hilang jati diri dan nanti untung pun tidak dapat.

  • Mengendali atau memusatkan pemikiran kita dalam bentuk positif, maka akan lahir aura yang positif. Bukan kita hanya meniru corak pemikiran orang lain atau mungkin kata-kata mereka itu lah yang membuatkan hati kita tersakiti. Ubah fokus pemikiran daripada fikir kepada orang lain kepada fokus kepada diri sendiri.

  • Tersenyumlah ketika bahagia dan menangislah sepuasnya jika kamu sedang bersedih. Kita tidak perlu takut dicop lemah dan sebagainya, yang paling penting kita jujur pada diri sendiri dalam hidup tanpa perasaan berpura-pura atau menunjuk-nunjuk pada orang lain.

    Keikhlasan pada diri sendiri adalah sangat penting dalam hidup, jika jujur pada tubuh badan kita, aura cahaya kegembiraan akan terpancar nanti.

    Penuhi hidup kita dengan kata-kata manis, senyum yang tidak pernah lekang dan pudar dan jangan berpura-pura dalam hidup kerana ia akan menjadi api dalam sekam dan membakar diri kita nanti.

    Jelas, hidup bukan untuk puaskan hati semua orang. Maka, jalanilah hidup dengan cara dan acuan kita sendiri dengan berbahagia seadanya setelah berusaha ke arah yang sempurna di masa kini.

    Bersyukurlah dengan apa yang kita miliki waima hanya sebuah kereta kecil yang menjadi kemegahan dalam batasan kita, itulah kemampuan yang kita ada. Jangan 'Mat Jenin' kan diri dengan berpura-pura sempurna dan berangan tidak sudah yang tidak akan ke mana. Berpijaklah di bumi nyata, itulah takdir kita setelah berusaha dan jangan berhenti berusaha untuk lebih memajukan diri bermula dengan langkah pertama.

    Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 5:59 AM