SISSY Iman.
SISSY Iman.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pengacara, Sissy Imann mengaku pernah diajak rakan selebriti untuk berpura-pura bercinta bagi meraih publisiti dan mencipta populariti dalam kalangan peminat.

Sissy berkata, pelawaan itu bagaimanapun ditolak kerana enggan mengejar publisiti murahan atau menipu orang ramai.

"Saya sedar gosip bercinta sesama artis antara berita yang pantas mendapat perhatian, tetapi sudah tentu saya tak tergamak untuk mereka-reka cerita yang tidak benar.

"Memang ada seseorang yang pernah menyuarakan hasrat supaya kami berpura-pura mempunyai hubungan kerana kononnya saya tidak mempunyai cerita panas yang dapat menaikkan nama saya.

"Bagi saya tidak mengapalah kalau kurang kisah sensasi daripada mereka-reka benda yang tak betul. Bukan saja menipu orang, hakikatnya kita juga menipu diri sendiri.

"Biarlah begini lagi bagus, asalkan rezeki dalam bidang seni tak putus. Itu lebih saya risaukan berbanding tiada kisah sensasi," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Getaran Jiwa terbitan saluran TVS.

Selain Sissy, Jiggy Masin turut memikul tanggungjawab sebagai pengacara program realiti itu.

Menurut Sissy, dia sentiasa percaya mengekalkan imej bersih dalam industri seni akan sentiasa menjadi kunci utama untuk memastikan dirinya terus kekal berada dalam dunia seni.

"Saya percaya setiap insan Tuhan sudah tetapkan rezekinya, cuma kena yakin, terus berusaha dan lakukan amanah diberi dengan sepenuh hati. Perkara lain kita serahkan kepada-Nya.

"Alhamdulillah rezeki dalam bidang seni sentiasa ada. Untuk Getaran Jiwa yang juga program terbitan TV Sarawak yang dijadualkan bermula pada 21 Oktober depan, bermakna saya bakal berulang alik antara Kuching dan Kuala Lumpur.

"Insya-Allah saya juga akan tampil dengan album penuh tidak lama lagi. Semua ini perlukan kesungguhan dan semangat. Syukur saya dikelilingi ramai insan positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 1:55 PM