BDR menjadi pilihan pekerja ketika sekatan pergerakan.
BDR menjadi pilihan pekerja ketika sekatan pergerakan.
Syah Rul Aswari Abdullah


Salah satu norma baharu susulan penularan pandemik Covid-19 adalah perubahan cara kita bekerja. Ketika kebanyakan negara menguatkuasakan sekatan pergerakan (lockdown) pada awal 2020, penduduk dunia diarah berkurung di rumah dan ia menyaksikan peralihan daripada bekerja di pejabat kepada bekerja dari rumah (BDR).

Semua kerja yang dilihat sukar untuk dilakukan di rumah sebelum itu, bertukar menjadi satu kebiasaan. Industri media tidak terkecuali apabila semuanya dilaksanakan secara dalam talian. Aplikasi Zoom dan Google Meet dimanfaatkan sebagai alat komunikasi utama untuk mengadakan temu bual, mesyuarat harian dan mengikuti taklimat atau sidang media. Proses penghasilan halaman akhbar dari A hingga Z, iaitu sebelum ia dihantar untuk dicetak di kilang juga dijalankan sepenuhnya di rumah.

Namun, itu kisah tiga tahun lalu. Ketika itu, dunia masih panik dengan penularan Covid-19. Trend terkini pula menyaksikan syarikat utama dunia mula menarik beransur-ansur semua polisi BDR dan mengarahkan pekerja untuk kembali sepenuhnya ke pejabat.

Ini bukannya perkara baharu. Syarikat utama dunia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) sudah lama mengarahkan pekerja mereka untuk kembali ke pejabat, iaitu seawal 2021. Namun, usaha ini ternyata sukar memandangkan kebanyakan pekerja sudah terbiasa dengan BDR sepanjang 2020. Tambahan pula, situasi Covid-19 pada masa itu masih dilihat mengancam kehidupan susulan kemunculan varian baharu demi varian baharu.

Tetapi mulai awal tahun ini, syarikat utama dunia kembali serius dalam meminta pekerja untuk kembali ke pejabat. Ini didorong oleh situasi Covid-19 yang semakin terkawal, ketidaktentuan ekonomi dunia dan pemberhentian pekerja secara besar-besaran yang dilihat dalam sektor teknologi. Ini memberikan majikan dengan kelebihan untuk mengarahkan tenaga kerja supaya kembali ke pejabat.

Gergasi teknologi iaitu Meta, umpamanya, membayangkan era BDR ini sudah berakhir. Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg menerusi memo kepada pekerjanya mengumumkan rancangan untuk memberhentikan 10,000 lagi pekerja dan penstrukturan kos. Meta yang juga syarikat induk Facebook pada akhir tahun lalu sudah mengumumkan pemberhentian 11,000 pekerja.

Menerusi memo itu, Zuckerberg berkata, analisis dalaman mencadangkan bahawa jurutera yang bekerja secara bersemuka lebih banyak menyelesaikan tugasan. Ia berbanding dengan jurutera yang menyertai syarikat itu tetapi memulakan kerja secara BDR atau di luar pejabat.

Ironinya, Meta adalah antara syarikat utama dunia yang paling awal menyokong remote working. Ia membenarkan pekerjanya untuk bekerja dari luar pejabat ketika awal penularan Covid-19. Syarikat itu terus mengamalkan polisi kerja fleksibel sehingga 2021 apabila tenaga pekerjanya di semua peringkat boleh memohon untuk bekerja sepenuh masa dari luar pejabat.

Sama juga dengan individu kedua terkaya dunia iaitu, Elon Musk yang mengarahkan pekerja Twitter untuk kembali ke pejabat apabila beliau membeli syarikat media sosial itu pada Oktober tahun lalu. Musk menerusi e-mel kepada warga kerja Twitter, memberi kata dua dengan berkata, tindakan pekerja yang tidak hadir ke pejabat, sama juga dengan 'meletak jawatan'. Musk berkata, pekerja perlu berada di pejabat sekurang-kurangnya 40 jam seminggu. Remote working pula hanya dibenarkan jika mendapat kebenaran.

Trend ini juga dapat dilihat pada syarikat utama lain di AS yang mula menarik balik kelebihan BDR pada tahun ini. Ini termasuk Disney, Amazon, Starbucks, Walmart dan General Motors. Biarpun mendapat tentangan daripada pekerja, kebanyakan syarikat ini mengarahkan pekerja untuk kembali ke pejabat untuk sekurang-kurangnya tiga hari dalam tempoh seminggu.

Sama juga seperti Meta, ada antara syarikat gergasi ini sebelumnya amat menyokong BDR tetapi mula menarik semula polisi itu.

Melihat kepada trend pada syarikat utama dunia ini, mungkin ramai yang menjangka bahawa era BDR kini sudah menghampiri ke penghujungnya. Ada juga yang berpendapat bahawa BDR secara sepenuhnya sudah berakhir, namun kerja fleksibel iaitu kerja secara hibrid - di pejabat dan di luar pejabat - kekal menjadi pilihan sebagai dasar tempat kerja.

Namun, trend terbaharu ini mengajak semua pihak kembali memikirkan polisi dan cara kerja yang sesuai dengan perkembangan semasa. Ini kerana 'formula lama' mungkin tidak dapat menyelesaikan 'masalah hari ini.' Lebih-lebih lagi apabila Musk dan Zuckerberg yang juga orang kedua dan ke-14 terkaya di dunia pun sudah mula skeptikal dengan polisi BDR ini!


Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 6:01 AM