MARK Zuckerberg. FOTO AFP
MARK Zuckerberg. FOTO AFP
Agensi

Washington: Facebook memberi lebih banyak fleksibiliti kepada pekerjanya untuk bekerja di luar pejabat dan Mark Zuckerberg menjadi contoh.

Ketua Pegawai Eksekutif Facebook itu memberitahu pekerja menerusi memo pada Rabu bahawa dia merancang untuk bekerja dari jarak jauh untuk sekurang-kurangnya selama enam bulan pada tahun depan.

Sumber syarikat itu memaklumkan perkara itu CNN Business.

"Saya mendapati bahawa bekerja dari jauh telah memberi saya lebih banyak ruang untuk berfikir jangka panjang dan membantu saya menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga saya, yang menjadikan saya lebih bahagia dan lebih produktif di tempat kerja," tulis Zuckerberg.

Facebook berkata, syarikat itu akan membenarkan pekerja di semua peringkat syarikat untuk memohon kerja jarak jauh, jika skop tugas mereka memungkinkan mereka melakukannya.

Katanya, pekerja yang ingin kembali ke pejabat boleh melakukannya secara fleksibel tetapi akan digalakkan untuk menghabiskan sekurang-kurangnya separuh masa mereka di pejabat dan pekerja dapat menghabiskan hingga 20 hari kerja dalam setahun di lokasi terpencil.

Facebook juga secara beransur-ansur mengembangkan kemampuan bekerja dari jarak jauh di luar sempadan, mulai minggu depan dengan pekerja yang ingin berpindah dari Amerika Syarikat ke Kanada dan dari mana sahaja di Eropah atau Timur Tengah sehingga ke United Kingdom.

Zuckerberg sebelum ini berkata, dia menjangkakan sekurang-kurangnya separuh daripada tenaga kerja Facebook akan bekerja dari jarak jauh dalam 10 tahun akan datang.

Dengan lebih separuh daripada orang dewasa Amerika Syarikat diberi vaksin sepenuhnya dan pembukaan semula ekonomi yang lebih luas, banyak syarikat Lembah Silikon yang beralih ke pilihan bekerja di luar pejabat.

Twitter memberi pilihan kepada pekerjanya untuk bekerja jarak jauh selama-lamanya jika tugas mereka mengizinkan, sementara Google meminta pekerja memilih antara tinggal jauh secara kekal, kembali ke pejabat atau menukar lokasi pejabat bermula September tahun ini.

Apple dan Uber menetapkan polisi yang lebih tegas, mewajibkan pekerja kembali ke pejabat sekurang-kurangnya tiga hari seminggu, juga bermula pada September.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 12:40 PM