Tinjauan orang ramai membeli belah bagi persiapan Aidilfitri di Kompleks PKNS.
Tinjauan orang ramai membeli belah bagi persiapan Aidilfitri di Kompleks PKNS.
BERSAMA MOHD ZAINI OTHMAN

Tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut 1 Syawal, lagu-lagu klasik malar segar bertemakan hari raya era 1980-an hingga 1990-an semakin rancak diputarkan kembali di corong-corong radio bersama lagu raya versi baharu yang tidak kurang sedapnya menangkap di telinga. Tidak ketinggalan, syarikat korporat yang sinonim dengan penerbitan iklan raya saban tahun juga sudah mula menayangkan 'cerita' masing-masing di kaca televisyen dan media sosial.

Tidak ketinggalan ibu bapa antara golongan yang paling sibuk menyediakan segala keperluan pakaian baharu untuk anak dan paling mencabar untuk menepati tema raya sedondon. Hakikatnya, tidak kira sama ada yang sudah berkeluarga atau masih bujang, tetap pening memikirkan apa yang sesuai dan cantik dipakai dari kepala sampailah ke hujung kaki untuk digayakan semasa berhari raya nanti.

Pada hemat penulis, hanya mereka yang berjiwa kental sahaja sesuai berada di kompleks beli-belah, butik dan bazar hari raya ketika ini kerana perlu banyak bersabar dan tabah mengharungi kesesakan orang ramai yang berada di lokasi sama.

Memandangkan penulis dan isteri mempunyai anak yang masih kecil, tempat yang sesak sebegini sememangnya cuba dielakkan untuk dikunjungi atas faktor keselamatan dan kesihatan. Sebagai langkah selamat, segala keperluan pakaian Aidilfitri lengkap disediakan seawal minggu pertama Ramadan lagi. Di sebalik kemeriahan umat Islam membuat persiapan menyambut Aidilfitri, pada sisi yang lain keluhan masyarakat terhadap peningkatan harga barangan keperluan dan lain-lain di pasaran tidak dapat kita nafikan. Dalam laporan di media, peniaga juga mengakui kuasa beli rakyat sekarang berkurangan sekali gus memberi kesan kepada pulangan kepada peniaga.

Pakar ekonomi sendiri melihat bahawa masalah peningkatan kos sara hidup yang dirasai hari ini adalah perkara besar yang tidak dapat dielakkan kerana ia berlaku mengikut peredaran zaman. Peningkatan kadar Inflasi tidak dapat dihalang untuk tidak terjadi, justeru yang boleh menjadi pembolehubah dalam mengawal keadaan ini adalah pengguna itu sendiri agar menerapkan konsep berjimat cermat dalam kehidupan mereka. Apabila ditekankan soal berjimat cermat, janganlah timbul salah faham sampai tidak mahu berbelanja langsung sehingga tahap mencatu barangan keperluan. Apa yang perlu difahami dalam urusan berbelanja seharian, Islam sudah memberi panduan dan nasihat yang jelas iaitu elakkan supaya tidak boros dan tidak terlalu kedekut.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta taatilah; dan infakkanlah harta yang baik untuk dirimu. Dan barang siapa dijaga dirinya daripada kekikiran maka mereka itulah orang yang beruntung." (Surah at-Taghabun, ayat 16)

Lebih-lebih lagi apabila melihat pelbagai promosi potongan harga sempena hari raya bersama pelbagai pakej tawaran lain, sememangnya ia umpama peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan. Tetapi, sentiasalah beringat untuk ukur baju di badan sendiri dan usah mengikut saranan orang sekeliling biar papa asalkan bergaya. Penulis sarankan berbelanja dengan berhemah dan tidak menurut hawa nafsu, sentiasa bijak mengenal pasti antara keperluan dan kehendak hati. Kita mempunyai pilihan untuk menjadi pengguna yang bijak dengan mengutamakan keperluan yang penting dahulu, ketepikan soal bermewah dan bermegah kerana aliran tunai pada hari ini sangat mudah mengalir keluar berbanding mengalir masuk. Perlu ukur kemampuan diri agar tidak membebankan diri sendiri dan orang lain di kemudian hari.

Rendahkan nafsu berbelanja berlebihan dengan sentiasa memandang kepada orang lain yang lebih susah dan sentiasa bersederhana walau di mana kita berada. Jika ingin berbelanja, semak dahulu barang yang sudah ada kemudian senaraikan apa yang benar-benar penting dan berbelanjalah di kedai yang menawarkan harga berpatutan. Islam tidak menghalang kita membelanjakan wang atau harta yang dimiliki. Ada nas al-Quran yang memerintahkan kita membelanjakan harta seperti firman Allah bermaksud: "Apakah bahayanya bagi mereka, kalau mereka beriman dengan Allah dan hari akhirat dan membelanjakan sebahagian rezeki yang sudah diberikan oleh Allah kepada mereka. (Surah an-Nisa, ayat 39)

Sebaik-baik corak perbelanjaan ialah bersederhana iaitu tidak terlalu bermewah dan tidak terlalu kedekut atau bakhil. Di samping bersederhana ketika berbelanja, pengguna perlu memastikan barangan atau perkhidmatan yang dibeli adalah barang keperluan yang bersesuaian dengan syariah Islam. Mutu barangan perlu diambil kira dalam proses pembelian. Perkara itu bagi memastikan setiap sen yang kita belanjakan mendapat pulangan setimpal dengan apa yang dibayar. Selepas mendapat nikmat semula meraikan Aidilfitri seperti tradisi kebiasaannya pada tahun lalu dan tahun ini selepas beraya dalam keadaan 'terkurung' pada 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19, pesan penulis syukurilah nikmat ini kerana ia juga satu rezeki Allah SWT.

Penulis Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 7:01 AM