ORANG ramai di Bazar Aidilfitri di perkarangan Stadium Darul Makmur. FOTO Luqman Hakim Zubir
ORANG ramai di Bazar Aidilfitri di perkarangan Stadium Darul Makmur. FOTO Luqman Hakim Zubir
Dr Nor Hazrul Mohd. Salleh

RAMADAN yang akan berakhir minggu ini akan memberikan seribu kenangan kerana dilalui dengan sinar harapan yang menggunung tinggi untuk meraikan kemenangan dengan berhari raya. Sudah dua tahun Ramadan diharungi dengan suasana yang sangat membimbangkan lantaran ketakutan kepada penularan wabak Covid-19 sejak tahun 2020.

Namun, dengan kepatuhan tinggi arahan pihak berkuasa serta komitmen semua rakyat dan agensi terlibat di barisan hadapan semuanya dapat dilalui dengan jaya. Bagaimanapun, kita masih belum menang sepenuhnya. Pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) mesti diteruskan untuk menjamin matlamat untuk keluar daripada pandemik berjaya secara total.

Mungkin SOP akan sentiasa dilonggarkan dari semasa ke semasa untuk memberikan lebih keselesaan terutama setelah berada dalam fasa endemik. Namun, kelonggaran ini jangan diambil mudah untuk terus mengabaikan SOP yang asas. Usaha bersepadu perlu diteruskan demi mencapai matlamat untuk menang melawan wabak ini.

Aidilfitri yang pastinya disambut penuh meriah haruslah juga dipastikan selamat dan secara bersederhana dalam setiap perkara terutama dalam berbelanja. Dalam konteks agama Islam, Aidilfitri adalah untuk membuktikan kesyukuran dan mengagungkan Allah SWT di atas segala nikmat-Nya.

Dalam perkara berkaitan ibadah puasa Ramadan Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Sebelum kedatangan Islam, terdapat pelbagai jenis sambutan atau Aidilfitri yang disambut oleh orang Arab. Namun, selepas kedatangan Islam, hanya dua hari raya yang secara asasnya dibenarkan untuk diteruskan iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Perkara ini dijelaskan baginda Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud: "Ketika Nabi SAW datang ke Madinah, penduduk Madinah memiliki dua hari raya untuk bersenang-senang dan bermain-main di masa jahiliah. Maka baginda bersabda: "Aku datang kepada kalian dan kalian mempunyai dua hari raya di masa jahiliah yang kalian isi dengan bermain-main. Allah telah mengganti keduanya dengan yang lebih baik bagi kalian, iaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha." (Riwayat Nasaei dan Ahmad)

Kedua-dua hari raya itu, pastinya mempunyai kelebihan dan kebaikan yang banyak. Jika disambut dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT tentunya akan mendapat keberkatan dan dikurniakan pahala yang besar. Manakala, sambutan lain tidak dikira sebagai hari raya. Implikasi pahala atau dosa pula terletak kepada setakat mana sambutan itu menepati perintah Allah SWT atau melanggar larangan-Nya.

Jika menepati syarat pastinya juga mendapat ganjaran pahala. Jika sebaliknya, sudah tentu membawa kepada dosa. Malah, Islam sangat menganjurkan agar kita bersederhana dalam setiap perkara. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Rasulullah SAW dan keluarganya tidak pernah merasa kenyang dalam tiga hari berturut-turut kerana memakan roti gandum. (Keadaan tersebut terus berlangsung) hingga beliau berpisah dengan dunia." (Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)

Rasulullah SAW menunjukkan kepada umatnya qudwah (teladan) bagaimana kaedah menguruskan nikmat dunia kurniaan Allah SWT yang banyak. Bukan bermakna meninggalkan terus hal dunia, tetapi memberi peringatan agar tidak berlebihan sehingga melupakan akhirat. Bukan sahaja dalam bab makan minum, bahkan merangkumi hal kehidupan secara menyeluruh menunjukkan Rasulullah SAW hidup dengan penuh sederhana.

Justeru, sempena menyambut Aidilfitri, cubalah mempraktikkan sunah Rasulullah SAW. Antara yang paling ketara ialah majlis makan, belanja pakaian dan perhiasan serta persiapan lain yang memerlukan kos yang tinggi. Walaupun kemampuan kewangan agak baik, tetapi bersederhana itu adalah yang terbaik. Bahkan, kalau mampu ditambah pula dengan amalan bersedekah duit dan makanan, pakaian, menjamu golongan fakir, miskin, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan.

Tidak mustahil ramai sudah mempunyai simpanan lebih untuk digunakan pada Aidilfitri ini. Tabiat menyimpan adalah sangat terpuji. Namun, bukanlah bermakna untuk digunakan atau dihabiskan sewenangnya. Fikirlah jalan terbaik untuk kegunaan pada masa hadapan juga. Terutamanya, apabila berlaku kecemasan atau musibah yang tidak dijangka. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu." (Surah al-Furqan, ayat 67)

Adapun sifat membazir pula adalah sangat tercela. Adalah lebih baik dijauhi terutama ketika situasi ekonomi dalam negara kita secara umumnya belum konsisten. Malah, sifat membazir akan mengundang masalah yang banyak terutamanya berkaitan kesihatan. Oleh itu, Allah SWT menggambarkan orang yang membazir seperti kawan-kawan syaitan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (Surah al-Isra', ayat 26-27)

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 5:59 AM