FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
minda

Amalan bergosip bukan perkara baharu dalam masyarakat kita.

Tafsiran umum untuk aktiviti bergosip ini ialah, berbicara mengenai keburukan (kejelekan) seseorang atau dalam bahasa mudah kita kata mengumpat.

Lazimnya, amalan bergosip biasa berlaku di kedai kopi atau ketika kita bersemuka dengan rakan-rakan yang turut mempunyai 'minat' sama dalam hal ini.

Namun, sekarang gosip dijenamakan semula dan lebih dikenali sebagai membawang dan di samping berlaku secara bersemuka, ia banyak berlegar di media sosial atau secara dalam talian.

Bagi sebahagian daripada anggota masyarakat, amalan membawang ini sudah menjadi lumrah dan rutin dalam kehidupan mereka yakni tidak sah kalau satu hari tidak membawang berkaitan orang lain.

Ringkasnya, ramai yang suka menjaga tepi kain orang, suka mengeluarkan kata-kata atau kenyataan yang tidak enak, mengancam, menghasut serta mengaibkan orang lain.

Mereka ini membawang mengalahkan semua pakar bidang yang ada di dunia ini, misalnya membawang dengan memberi pelbagai komen dan pandangan berkaitan kehidupan golongan artis, tingkah laku orang politik, hal ehwal ekonomi dan juga pelbagai isu semasa dan sensasi yang berlaku di negara kita.

Golongan yang sering dikenali sebagai 'mak cik bawang' ini mungkin tidak sedar betapa kita sudah ada peruntukan undang-undang mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang boleh menangkap dan menghukum mereka jika terbukti membawang dan memfitnah.

Tegasnya, membawang atau bergosip sebenarnya adalah suatu perbuatan jenayah dan jika berlaku di media sosial, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh mengklasifikasikannya sebagai jenayah buli siber.

SKMM boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 233, AKM (1998) yang merangkumi perbuatan seperti, penyebaran kandungan lucah, palsu, mengancam, jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.

Mengikut akta ini, seseorang itu boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam konteks ini, ramai sebenarnya tidak sedar amalan membawang kita boleh membawa kepada jenayah buli siber.

Sebagai peringatan bersama, buli siber ditakrifkan sebagai, perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti, mesej teks (SMS), chatting, e-mel, laman web sosial, telefon bimbit atau permainan internet.

Rangkaian sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter serta aplikasi WhatsApp adalah platform paling popular untuk aktiviti buli siber.

Perbuatan membuli dan membawang secara keterlaluan menggunakan platform media sosial boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif seperti mangsa boleh menjadi resah, murung dan mendapat penyakit lain yang berkaitan dengan tekanan dan dalam kes tertentu buli siber juga boleh menyebabkan mangsa membunuh diri.

Jadi, individu yang suka membawang perlu berhati-hati dan sentiasa beringat bahawa setiap perbuatan anda itu tertakluk di bawah undang-undang dan jangan ingat kita boleh menyorok di sebalik platform media sosial umpama baling batu sembunyi tangan.

Hal ini kerana, pihak SKMM ada pakar yang sentiasa memantau secara agresif semua platform media sosial yang kebiasaannya cukup rancak dengan pelbagai aktiviti jenayah yang boleh diklasifikasikan sebagai buli siber.

Ironinya, netizen yang suka membawang dan gemar menghabiskan masa di media sosial jangan sesekali ingat kita boleh sesuka hati membuat komen sehingga menjejaskan orang lain.

Untuk rekod, mengikut SKMM, dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 3,772 aduan diterima berhubung jenayah buli siber.

Antara lain aduan itu merangkumi gangguan seksual, ancaman serta penyalahgunaan maklumat butiran peribadi bagi tujuan tidak 'menyenangkan' orang lain.

Oleh itu, kita perlu sedar dan ambil tahu apakah perbuatan membawang kita termasuk dalam kategori jenis buli siber yang boleh mengundang padah kepada kita balik.

Kita sepatutnya tidak membawang dan mengamalkan budaya seperti menghantar mesej kepada individu yang berbentuk suka mengganggu atau mengancam secara peribadi, menyalahgunakan kata laluan/nama skrin sekali gus menyamar sebagai orang lain, memanjangkan atau berkongsi e-mel, foto, video atau sebarang maklumat yang tidak berkaitan serta berbentuk gosip dan fitnah kepada orang lain, memuat naik komen atau gambar yang tidak senonoh, sexting (menghantar gambar/mesej/video berunsurkan seksual) serta memulaukan individu daripada sesuatu kumpulan internet dengan sengaja.

Ingat, kerana mulut dan tangan badan boleh binasa.Tuntasnya, kita perlu sentiasa menjaga etika komunikasi baik ketika bersemuka mahupun dalam platform internet kerana jika tersalah cakap atau komen kita boleh diheret ke mahkamah.

Justeru, jadilah masyarakat yang bertanggungjawab dan berintegriti, jangan muat naik atau berkongsi mahupun membuat komen dan mengeluarkan kenyataan yang berunsur fitnah dan gosip.

Ingat, apa yang kita komen itu akan menjadi kata-kata yang menggambarkan keperibadian diri kita kepada orang lain.

Hakikatnya, perbuatan membawang lebih banyak menyumbang kepada keburukan serta boleh mencetuskan pelbagai pergolakan dalam masyarakat.

Secara prinsipnya kita tidak mahu amalan membawang menjejaskan tahap perpaduan dan kerukunan hidup masyarakat kita sehingga boleh mengancam ketenteraman awam di negara ini.

Ingat, membawang boleh membawa padah. Justeru, jangan suka menjadi mak cik bawang!

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 7:00 AM