FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
minda

Mahasiswa adalah kumpulan yang sering kali dikaitkan dengan pelbagai konotasi seperti belia harapan negara, pemimpin masa hadapan, pembekal modal insan yang berkualiti dan sebagainya. Namun, ada dalam kalangan mahasiswa yang sekadar melepaskan batuk di tangga ketika berada di menara gading.

Mereka datang ke universiti sekadar memenuhi harapan ibu bapa yang ingin melihat anaknya belajar di menara gading.

Antara faktor yang menyebabkan kurangnya motivasi mereka untuk tidak meletakkan pelajaran sebagai agenda utama yang perlu diusahakan adalah disebabkan terpengaruh dengan pihak yang beranggapan bahawa orang yang tidak berpelajaran tinggi pun boleh berjaya. Walaupun persepsi sebegitu mungkin ada kebenarannya, setiap mahasiswa perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan menjadikan pencapaian akademik sebagai asas tertinggi yang perlu diberi keutamaan.

Di universiti, prestasi seseorang pelajar diukur melalui Cumulative Grade Point Average (CGPA) atau Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK). Secara dasarnya, PNGK yang diraih mahasiswa dikaitkan dengan kemahiran kognitif yang berteraskan peperiksaan. Bagaimanapun, beberapa elemen penting seperti tugasan bertulis dan kemahiran berkomunikasi menerusi sesi pembentangan juga diambil kira bagi menggambarkan prestasi sebenar seseorang mahasiswa. Tugasan bertulis sering dijadikan alat untuk mengukur kemampuan mahasiswa dalam menghasilkan buah fikiran yang kritis, logik dan disulami fakta meyakinkan.

Selain itu, tugasan bertulis juga digunakan untuk melatih mahasiswa untuk menyusun dan mengembangkan idea secara rasional, membuat perkaitan yang jelas antara satu hujah kepada satu hujah dan menggunakan laras bahasa yang formal.

Tugasan bertulis juga dapat melatih mahasiswa untuk bekerja secara berkumpulan, berdisiplin dan bijak menguruskan masa. Mahasiswa yang betul-betul mendalami proses menyiapkan tugasan bertulis dengan baik berupaya meningkatkan pemahaman mereka terhadap sesuatu subjek atau mata pelajaran yang sedang dipelajari.

Mereka mampu mencari fakta kes sebenar dan mengaitkannya dengan teori-teori yang telah dipelajari di dalam kelas.

Kebanyakan kerjaya memerlukan pekerja yang bagus dalam penulisan laporan. Laporan yang kemas, padat, berinformasi dan kurang atau tiada kesilapan amat dituntut oleh mana-mana organisasi awam mahupun swasta. Selain itu, laporan yang baik mampu meyakinkan banyak pihak terutamanya para pelabur dan pelanggan untuk terus berurusan dengan organisasi tersebut.

Dalam sektor swasta, pekerja adalah antara satu sumber kekuatan yang ada bagi membolehkan sesebuah syarikat itu berdaya saing dan mampu menandingi syarikat-syarikat lain. Kertas cadangan yang dihasilkan dengan baik dan berkualiti mampu meyakinkan kerajaan dalam urusan pemberian kontrak.

Manakala, dalam sektor awam pula, Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) adalah orang yang ditugaskan untuk menghasilkan kertas cadangan dasar. Kertas cadangan dasar adalah dokumen yang memperincikan cadangan seperti objektif dasar, strategi-strategi bagi menyelesaikan sesuatu masalah dan sebagainya. Di situlah kebijaksanaan pegawai kerajaan dapat dilihat memandangkan mereka juga perlu membuat analisis faedah kos bagi setiap strategi yang dicadangkan.

Cadangan dasar yang digarap dengan baik, ringkas, tepat dan jelas akan membantu penggubal dasar dalam membuat keputusan.

Oleh itu, mahasiswa perlu menjadikan tugasan bertulis sebagai suatu perkara yang penting bagi meningkatkan keintelektualan mereka dan bersedia menghadapi pasaran buruh yang kian mencabar. Di universiti, mahasiswa dituntut untuk menghasilkan tugasan bertulis yang berkualiti.

Mahasiswa perlu bijak mendapatkan sumber rujukan yang sahih dan bereputasi tinggi agar maklumat yang disampaikan dapat meyakinkan pensyarah atau panel yang menilainya.

Segala maklumat yang dirujuk perlu diberikan sitasi (citation) untuk memberitahu pembaca tentang pemilik asal maklumat yang digunakan dan mengelakkan plagiat. Rujukan yang mengikut format yang ditentukan oleh pensyarah juga perlu disediakan bagi membolehkan pensyarah mendapat sumber asal yang dirujuk oleh mahasiswa tersebut. Sitasi dan rujukan yang disediakan oleh mahasiswa belum lagi membenarkan mahasiswa tersebut untuk terlepas daripada melakukan kesalahan plagiat selagi mereka tidak menggunakan ayat mereka sendiri dalam penulisan itu. Walaupun mahasiswa telah menyediakan sitasi dan rujukan, mereka masih lagi terperangkap dalam isu plagiat sekiranya mereka 'copy and paste' secara membuta tuli maklumat yang dirujuk.

Semua yang diterangkan di atas memerlukan mahasiswa menggali ilmu penulisan yang baik supaya mereka memperoleh markah yang baik untuk tugasan bertulis dan membantu meningkatkan PNGK mereka.

Selain berjumpa dengan pensyarah, mahasiswa juga disaran untuk mendapatkan ilmu berkaitan penulisan dengan menghadiri bengkel penulisan seperti bengkel High Impact Written Assignment yang bakal dianjurkan oleh Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub dan Kelab AdminUS (hubungi Batrisya di talian 017-6762822).

Bengkel yang diadakan menerusi aplikasi Webex pada 24 November (hari ini) memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang teknik menyiapkan tugasan bertulis dengan berkualiti seperti kaedah mendapatkan artikel jurnal, cara-cara membuat sitasi dan rujukan dengan betul, format tugasan bertulis dan banyak lagi.

Diharapkan mahasiswa dapat meningkatkan kemahiran dan kualiti bagi mempersiapkan diri menghadapi alam pekerjaan kelak.

Penulis pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 7:00 AM