KEPELBAGAIAN tanggungjawab yang perlu dilaksanakan secara tidak langsung boleh memberi tekanan kepada pensyarah. - Gambar Google.
KEPELBAGAIAN tanggungjawab yang perlu dilaksanakan secara tidak langsung boleh memberi tekanan kepada pensyarah. - Gambar Google.
TANGGUNGJAWAB pensyarah juga meliputi penulisan jurnal seperti ditetapkan universiti. - Gambar Google
TANGGUNGJAWAB pensyarah juga meliputi penulisan jurnal seperti ditetapkan universiti. - Gambar Google
ANTARA tanggungjawab hakiki pensyarah ialah turut menjalankan konsultasi menyelia pelajar ijazah pertama, sarjana muda dan doktor falsafah.
ANTARA tanggungjawab hakiki pensyarah ialah turut menjalankan konsultasi menyelia pelajar ijazah pertama, sarjana muda dan doktor falsafah.
PENSYARAH perlu melakukan penyelidikan sebagai sebahagian usaha meningkatkan bidang penyelidikan negara, namun kekangan dana turut memberi tekanan kepada golongan itu. - Gambar hiasan.
PENSYARAH perlu melakukan penyelidikan sebagai sebahagian usaha meningkatkan bidang penyelidikan negara, namun kekangan dana turut memberi tekanan kepada golongan itu. - Gambar hiasan.
SEBAGAI pensyarah, mereka juga perlu berkongsi kepakaran masing-masing selain menghadiri pelbagai persidangan tempatan mahupun antarabangsa. - Gambar Google.
SEBAGAI pensyarah, mereka juga perlu berkongsi kepakaran masing-masing selain menghadiri pelbagai persidangan tempatan mahupun antarabangsa. - Gambar Google.
KEMENANGAN dalam anugerah juga satu bonus kepada pensyarah untuk meningkatkan kredibiliti. - Gambar hiasan.
KEMENANGAN dalam anugerah juga satu bonus kepada pensyarah untuk meningkatkan kredibiliti. - Gambar hiasan.
Ruhaiza Rusmin


Profesion pensyarah universiti sebagai satu kerjaya profesional kini semakin mencabar apabila pelbagai tuntutan dipertanggungjawabkan ke atas golongan itu.

Bukan lagi sekadar tanggungjawab mengajar sebagai tugas hakiki semata-mata malah, turut dikehendaki melaksanakan tuntutan lain seperti disyaratkan institusi termasuk penulisan jurnal, penyelidikan, pencarian dana kerjasama industri.

Kepelbagaian tanggungjawab ini dilihat seperti memberi tekanan dan bebanan kepada golongan berkenaan, sekali gus turut menimbulkan kebimbangan mampukah golongan ini menyelia pelajar dengan baik?

Adakah benar tugasan pensyarah pada hari ini membebankan?

Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah berkata, setiap pekerjaan dalam perkhidmatan awam mempunyai skop kerja khusus dan jelas sebagaimana ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Menurutnya, skop kerja itu berdasarkan falsafah bidang masing-masing dengan keperluan bersifat khusus.

“Semua pekerjaan dalam perkhidmatan awam mempunyai kepentingan tertentu untuk saling melengkapi satu sama lain.

“Kepentingan ini perlu dilaksanakan dengan penuh tumpuan dan tanggungjawab tanpa mengira apa jua bidang pekerjaan.

“Setiap bidang kerja ada cabaran masing-masing, sama ada perkhidmatan sokongan atau profesional termasuk pensyarah yang dilihat pada hari ini perlu memikul banyak tanggungjawab di institusi,” katanya.

Beliau berkata, sistem pendidikan negara ini dibangunkan berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang mempunyai empat elemen penting saling berhubung kait iaitu proses, matlamat, dasar dan hasil.

“Elemen proses dalam FPK merujuk kepada suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu.

“Tugas pensyarah yang utama adalah mengajar atau memberi kuliah kepada pelajar. Ini persepsi masyarakat umum dari dulu hingga sekarang.

“Berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) pensyarah yang terkini, persepsi masyarakat berkenaan tugas pensyarah masih tidak berubah.

“Selain mengajar, pensyarah perlu menulis artikel untuk jurnal dan buku dalam bidang kepakarannya, menyediakan proposal untuk mendapatkan geran penyelidikan, menjadi perunding selia pelajar (ijazah pertama, sarjana muda dan doktor falsafah). Pada masa sama memantau kejayaan pelajar bermula semester satu hingga tamat pengajian,” katanya yang menekankan kerjaya antara guru dan pensyarah tidak boleh dibuat perbandingan.

“Realitinya kerjaya guru lebih dekat di hati masyarakat berbanding pensyarah disebabkan kebanyakan lokasi sekolah secara tradisinya dibina di kawasan penempatan masyarakat dan berada di serata Malaysia.

“Bilangan guru yang besar dan taburannya agak menyeluruh juga sudah cukup menunjukkan mereka lebih hampir dengan masyarakat, justeru tidak hairanlah segala kegiatan, aktiviti dan keluhan sentiasa didengari serta diberi perhatian,” katanya.

Pensyarah pula, katanya, berkhidmat di universiti atau kolej yang digambarkan sebagai tempat eksklusif.

“Sebarang perkembangan pensyarah dan universiti juga sukar disebar secara terbuka menyebabkan keluhan serta masalah mereka tidak banyak diperbahaskan di khalayak ramai.

“Padahal kami juga berdepan masalah tertentu seperti beban tugas berlebihan kepada sesetengah pensyarah dan isu kenaikan pangkat,” katanya.

Ditanya apakah bebanan atau cabaran utama pensyarah ketika ini, beliau berkata, ada dua perkara iaitu skop kerjaya dan KPI.

Menurutnya, skop kerjaya adalah kerja hakiki yang dimaklumi setiap pensyarah meliputi pengajaran, penyeliaan, penulisan, penerbitan dan perundingan. Sementara KPI adalah pencapaian harus dicapai dalam setahun.

“Kedua-dua perkara ini saling berkaitan dengan penetapan KPI pensyarah biasanya berdasarkan penetapan KPI universiti yang diselaraskan dengan penetapan KPI Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Pada asasnya hala tuju universiti mesti selaras dan rujukan utama penyediaan hala tuju ini adalah Pelan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

“Pensyarah dapat menerima dan memahami desakan perubahan ini namun perubahan yang drastik tanpa kompromi serta mengetepikan unsur kemanusiaan sangat dikesali. Ini antara faktor yang menjejaskan kredibiliti pensyarah ketika menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 10:37 AM