LEBIH seratus nyawa terkorban apabila penyokong pasukan bola sepak menyerbu padang Stadium Kanjuruhan di Malang, Indonesia.
LEBIH seratus nyawa terkorban apabila penyokong pasukan bola sepak menyerbu padang Stadium Kanjuruhan di Malang, Indonesia.
Syarifah Dayana Syed Bakri


Baru minggu pertama Oktober, sudah dua tragedi menyayat hati berlaku di negara jiran kita, Indonesia dan Thailand.

Lebih menyedihkan mangsa yang terbabit sebahagian besarnya adalah kanak-kanak.

Pada 1 Oktober lalu, Stadium Kanjuruhan di Malang menyaksikan ratusan nyawa terkorban akibat rempuhan yang berlaku selepas perlawanan bola sepak antara pasukan Arema FC dan Persebaya Surabaya.

Berdasarkan laporan, kejadian berkenaan dipercayai berlaku kerana penyokong pasukan Arema FC tidak dapat menerima kekalahan pasukan kesayangan menyebabkan mereka memasuki padang untuk bersemuka dengan pemain dan pegawai pasukan itu selepas perlawanan tamat.

Keadaan tegang memaksa pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata yang menyebabkan ribuan penyokong berasak-asak untuk keluar stadium melalui beberapa pintu sehingga berlaku rempuhan.

Lebih memburukkan keadaan, pintu stadium terkunci dan tangga ke pintu keluar juga terlalu curam hingga ada yang jatuh serta menambah panik penyokong yang kelam-kabut mahu keluar kerana sesak nafas akibat gas yang dilepaskan.

Ketua Polis Jawa Timur, Nico Afinta memohon maaf atas insiden berkenaan dan rentetan peristiwa itu Ketua Polis Malang, Ferli Hidayat dipecat manakala sembilan pegawai elit polis digantung tugas.

Pasukan polis Malang menerima kritikan hebat daripada orang awam kerana dilihat menjadi punca kejadian buruk itu.

Mereka juga dipersalahkan selepas melepaskan gas pemedih mata ke arah penyokong yang marah dan menyerbu ke arah padang.

Kelengkapan perlawanan dan fasiliti di padang termasuk bangku pemain, papan iklan, jaring gawang turut dirosakkan.

Bukan setakat itu, kenderaan polis turut menjadi sasaran penyokong yang marah.

Sekurang-kurangnya 131 terbunuh, dengan lebih 300 cedera. Lebih menyedihkan apabila sebahagian mangsa adalah kanak-kanak.

Keadaan sedikit berbeza berlaku di Thailand apabila kanak-kanak turut menjadi mangsa 'kegilaan' orang dewasa apabila seorang individu menyerang pusat jagaan kanak-kanak dengan bersenjata pistol, pisau dan senapang.

Kejadian yang berlaku di wilayah Nong Bua Lam Phu itu menyaksikan sekurang-kurangnya 34 individu maut dengan 23 daripadanya adalah kanak-kanak.

Penyerang adalah bekas pegawai polis yang dipecat daripada pasukan tahun lalu kerana penyalahgunaan dadah.

Dia melepaskan tembakan ke arah pusat jagaan kanak-kanak itu pada tengah hari Khamis lalu dan kemudian melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki kenderaan.

Kolonel polis Jakkapat Vijitraithaya berkata, suspek dikenali sebagai Panya Khamrab, seorang leftenan kolonel polis yang menurutnya telah dipecat daripada pasukan tahun lalu.

Dia kemudian membunuh diri dan keluarganya.

Berdasarkan laporan, pemilikan senjata api di Thailand adalah tinggi, namun kejadian tembakan besar-besaran sangat jarang berlaku.

Pada 2020, dalam salah satu insiden terburuk pernah dicatatkan, seorang askar menembak mati 29 orang dalam kejadian amuk selama 17 jam dan mencederakan lebih banyak lagi sebelum dia ditembak mati oleh komando.

BBC melaporkan, suspek kejadian tembak di taska itu tiba pada waktu makan tengah hari dan menembak lima kakitangan pusat jagaan berkenaan.

Menurut saksi, ketika itu, dia menyangka letupan yang didengari adalah bunyi mercun.

Katanya, suspek juga memecah masuk ke bilik berkunci yang menempatkan kanak-kanak sedang tidur dan melepaskan tembakan.

Saksi melihat seorang guru yang meninggal dunia memeluk seorang kanak-kanak yang turut maut.

Luluh hati ibu dan ayah kepada kanak-kanak yang terkorban apabila mereka terpaksa menyambut jasad anak, sedangkan ketika dihantar ke taska semuanya masih sihat cergas.

Bagaimana pula perasaan ibu dan ayah kanak-kanak yang terkorban dalam tragedi Stadium Kanjuruhan? Niat mereka mahu bawa anak menonton perlawanan bola sepak, untuk cipta kenangan manis jadi bahan senyuman hingga dewasa kelak.

Namun, kenangan itu terpahat sebagai tragedi, jadi peneman air mata hingga akhir hayat mereka.

Sungguh sedih tidak terkata.

Moga kuatlah semangat ibu ayah ini menghadapi dugaan yang sukar diterjemah dengan kata-kata.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 7:00 AM