ANGGOTA polis Thailand membuat rondaan dalam pusat beli-belah Siam Paragon sebelum dibuka sehari selepas kejadian tembakan menyebabkan dua maut.
ANGGOTA polis Thailand membuat rondaan dalam pusat beli-belah Siam Paragon sebelum dibuka sehari selepas kejadian tembakan menyebabkan dua maut.
Bersama Syarifah Dayana Syed Bakri

Setahun yang lalu, dua negara jiran dikejutkan dengan tragedi menyayat hati yang sebahagian besar mangsa adalah kanak-kanak.

Pada Oktober tahun lalu, Indonesia dikejutkan dengan kejadian rempuhan di Stadium Kanjuruhan di Malang yang menyaksikan ratusan nyawa terkorban akibat rempuhan selepas perlawanan bola sepak antara pasukan Arema FC dan Persebaya Surabaya.

Sekurang-kurangnya 131 terbunuh, dengan lebih 300 cedera. Lebih menyedihkan apabila sebahagian mangsa adalah kanak-kanak.

Selepas kejadian itu, penyokong kedua-dua pasukan dilarang menghadiri perlawanan bola sepak selepas liga bersambung pada Disember tahun lalu dan dibatalkan sepenuhnya sebelum itu susulan insiden itu, namun ada beberapa perlawanan yang dibenarkan berlangsung.

Malah, pada Mac lalu, perlawanan kedua-dua pasukan terpaksa ditangguhkan kerana pihak berkuasa bimbang kejadian sama berulang.

Pada tahun lalu juga, satu lagi jiran Malaysia, Thailand, menerima berita menyayat hati apabila seorang lelaki menyerang pusat jagaan kanak-kanak dengan bersenjata pistol, pisau dan senapang.

Kejadian yang berlaku di wilayah Nong Bua Lam Phu itu menyaksikan sekurang-kurangnya 34 individu maut dengan 23 daripadanya adalah kanak-kanak.

Penyerang adalah bekas pegawai polis yang dipecat daripada pasukan tahun lalu kerana penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun, dia kemudian membunuh diri dan keluarganya.

Berdasarkan laporan, pemilikan senjata api di Thailand adalah tinggi, namun kejadian tembakan besar-besaran sangat jarang berlaku.

Namun, pada minggu ini, kejadian tembakan orang awam ini berlaku lagi dengan kali ini membabitkan suspek berusia 14 tahun.

AFP melaporkan, kejadian tembakan di pusat beli-belah mewah Siam Paragon menyebabkan huru-hara.

Dua wanita yang masing-masing warga China dan Myanmar terbunuh dalam tembakan pusat beli-belah itu, dan lima lagi cedera.

Suspek berusia 14 tahun itu berjaya ditahan, namun ketika itu berada dalam keadaan terlalu keliru untuk disoal siasat.

Difahamkan, suspek adalah pesakit mental di Hospital Rajavithi dan belum mengambil ubatnya.

Malah, hasil siasatan awal menyebut bahawa suspek mendakwa ada suara menyuruhnya menembak orang.

Asisten Komisioner Polis Diraja Thailand, Pol Lt Jen Samran Nualma berkata remaja berkenaan menggunakan pistol plastik yang diubah suai untuk menembak peluru sebenar.

Berikutan itu, dua lelaki ditahan kerana menjual pistol berkenaan kepada remaja itu.

Kejadian berkenaan turut menjadi detik hitam buat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berada di hotel berhampiran pusat beli-belah itu.

Tunku Ismail berkata, ketika kejadian, suasana panik dengan orang ramai menjerit dan berlari masuk ke dalam hotel dari pusat beli-belah apabila penembak mula melepaskan tembakan.

Katanya, beliau sekeluarga sedang duduk di lobi hotel ketika keadaan huru-hara itu berlaku.

Beliau kemudian membawa kanak-kanak dan keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan dan fikirannya tertumpu kepada berapa ramai penembak dan senjata digunakan.

Menurutnya, beliau juga terbayang saat menenangkan anak-anaknya yang ketakutan dan menangis.

Tunku Ismail berkata, meskipun terlepas perlawanan JDT, beliau bersyukur keluarga dan pasukannya selamat dan menyifatkan kejadian itu pengalaman terburuk pernah dilalui, apatah lagi perlu melindungi anak-anaknya daripada pembunuh.

Semoga tiada lagi peristiwa hitam berlaku di sekeliling kita apatah lagi yang membabitkan nyawa dan keselamatan kanak-kanak.

Penulis Pengarang Berita, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 7:01 AM