GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Mohamed Shakil Hameed

Ungkapan keramat yang sering kita dengar terutamanya pada musim sambutan Hari Kebangsaan ialah jangan tanya apa sumbangan negara kepada anda, tetapi tanya apa sumbangan anda kepada negara. Jujurnya, apakah kita benar-benar bersyukur dengan nikmat kemerdekaan dan sejauh mana kita menterjemahkannya dalam bentuk tindakan yang menzahirkan ucapan terima kasih kepada negara tercinta ini.

Bumi mana tak ditimpa hujan. Walaupun kita berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti konflik politik serta perselisihan faham antara kaum di sana sini, namun jangan dinafikan nikmat kebebasan, keamanan dan keselamatan diberi negara ini. Justeru, kita wajar berterima kasih kepada ibu pertiwi ini.

Ironinya, ada banyak cara kita menzahirkan ucapan terima kasih terutamadalam situasi kita mungkin tidak perlu mengangkat senjata di medan peperangan bagi mempertahankan kedaulatan negara. Hakikatnya kita tidak berada dalam suasana kancah peperangan melibatkan senjata dan tentera, tetapi bukan bermaksud boleh berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa sebagai tanda mensyukuri nikmat kebebasan yang ada.

Antara cara paling mudah, murah dan senang untuk menzahirkan semangat patriotisme serta menyuburkan rasa cintakan negara ialah membeli, memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing baik rumah mahupun pejabat. Aktiviti ini tidak perlu disuruh, diwajibkan atau terpaksa dikuatkuasakan undang-undang seperti premis yang tidak memasang bendera dikenakan denda sebab kesedaran ini sepatutnya berputik dengan sendiri dalam jiwa.

Jangan bersikap menunggu dan mengharap sumbangan bendera percuma sebaliknya keluarkan sedikit duit poket membelinya sendiri. Usah kedekut tak bertempat hingga tidak mahu membeli bendera. Ingat harga sehelai Jalur Gemilang tidak boleh dibandingkan dengan nilai negara ini yang banyak berjasa kepada kita dan sedarlah bendera lambang kedaulatan negara dan bangsa yang bebas merdeka. Maka kibarkanlah Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga.

Selain itu, kesanggupan berkorban dan kesediaan terus mempertahankan kemerdekaan negara juga satu lagi cara menzahirkan semangat patriotisme dan ungkapan terima kasih. Ironinya kalau bukan kita siapa lagi akan melakukannya? Ingat, merdeka sekali tidak bermakna kita kekal bebas dan berdaulat selama-lamanya. Semuanya akan lenyap dalam sekelip mata jika kita leka, lalai dan ambil mudah kerana negara berhadapan pelbagai bentuk ancaman baik dari dalam mahupun luar.

Misalnya, walaupun mungkin kita tidak terlibat dalam konflik antarabangsa mahupun peperangan sehingga terpaksa mengangkat senjata namun harus diingat penjajahan baharu sedang berlaku. Antaranya, penjajahan minda dan budaya yang secara perlahan-lahan mula melenyapkan nilai jati diri dan amalan selama ini.

Paling mudah kita boleh lihat masalah sosial melanda golongan belia pada ketika ini. Pengaruh budaya liar dan liberal dari luar yang mudah dipelajari dari platform internet yang menjadi dunia tanpa sempadan menyebabkan ramai hanyut dan menjalani gaya hidup songsang serta menyalahi norma hidup masyarakat kita. Bayangkan apa akan jadi kepada nasib mereka dan masa depan negara ini pada satu hari nanti kerana merekalah harapan untuk menyambung legasi kecemerlangan negara ini.

Jadi, kita perlu bersedia untuk melakukan pengorbanan dengan membina benteng yang ampuh bagi melindungi diri daripada segala jenis anasir luar yang cuba mempengaruhi dan menjajah minda dan gaya hidup kita demi mempertahankan jati diri serta kemerdekaan negara. Pegang dan hayatilah kata-kata Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman: 'Tidak ada tempat lagi yang kita hendak pergi kerana ini sajalah tanah air kita.'

Kemerdekaan bumi bertuah ini juga banyak bergantung harap kepada aspek perpaduan nasional yang menjadi tonggak keselamatan dan kestabilan rakyat dan negara. Justeru, kita juga boleh mengucapkan terima kasih dengan mempertahankan jambatan perpaduan dibina dan diwariskan generasi dahulu. Ingat, perpaduan yang kukuh antara masyarakat berbilang bangsa menjadi formula mujarab yang menyumbang kepada pembebasan kita daripada penjajah.

Jujurnya, kita sedar bukan mudah untuk mempertahankan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini kerana ada saja cabaran dan dugaan yang cuba merobek dan meruntuhkan jambatan perpaduan itu. Tidak keterlaluan untuk dikatakan jambatan yang ada sudah mula menampakkan keretakan malah ramai yang menyifatkan kita masih belum mencapai tahap perpaduan yang sebenarnya sebaliknya apa yang ada pada ketika ini hanyalah berbentuk kosmetik semata-mata. Hal ini kerana sedikit saja provokosi sudah cukup untuk mencetuskan perselisihan antara kaum terutama apabila ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan melaga-lagakan rakyat menggunakan sentimen agama dan bangsa.

Ini satu situasi yang cukup membimbangkan dan perlu ditangani dengan segera agar dapat memperkukuhkan semula semangat kerjasama, kekitaan dan permuafakatan antara rakyat demi mempertahankan kedaulatan negara. Harus diingat, perpaduan yang utuh juga akan menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan rakyat serta keselamatan dan kemajuan negara.

Bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan, marilah kita buang yang keruh dan ambil yang jernih dengan mengetepikan segala perselisihan mahupun perbezaan pandangan. Ambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada negara dengan menzahirkan semangat patriotisme yang tinggi. Tuntasnya, seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kesatuan dalam perbezaan adalah kehebatan sebenar Keluarga Malaysia yang membolehkan kita terus kekal teguh bersama. Sama-samalah kita bermuhasabah dan tanya diri sendiri apa sumbangan kita kepada negara selama ini. Terima kasih Malaysia dan selamat menyambut Hari Kebangsaan kali ke-65.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 5:59 AM