GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Bersama Fadly Samsudin

Penghuni syurga kelak tidak bercakap perkara sia-sia, menyakiti hati orang lain serta berbohong.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka tidak akan mendengar dalam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa. Mereka hanya mendengar ucapan: “Selamat! Selamat! (daripada satu kepada yang lain).” (Surah al-Waaqi’ah, ayat 25-26)

Selain itu, bakal penghuni syurga apabila diberikan masa lapang oleh Allah SWT, mereka sentiasa menggerakkan bibir dengan zikir dan membaca al-Quran.

Apabila melihat betapa tinggi dan sukarnya kriteria ditetapkan oleh Allah SWT itu, seolah-olah kita tiada peluang untuk ke syurga.

Memang bukan mudah untuk memperoleh ganjaran syurga Allah. Malah, Nabi Muhammad SAW juga sangat berusaha untuk memasuki syurga, bukannya Baginda dengan mudah memperolehnya.

Baginda antara kalangan rasul yang paling banyak menerima ujian berat sehingga Baginda berjaya menjadi manusia paling disayangi Allah SWT.

Baginda menyatakan, tiada seorang manusia masuk ke syurga dengan amalannya. Semua orang masuk syurga dengan rahmat Allah SWT.

Allah SWT memberikan tanda kepada hamba-Nya sama ada mereka mati dalam keadaan baik atau sebaliknya.

Dalam satu hadis dinyatakan, tiap-tiap manusia akan dibangkitkan oleh Allah SWT di padang mahsyar seperti dia dalam keadaan mati.

Kata ulama, sesiapa yang hidup dengan penuh ketaatan dan ibadat, nescaya matinya juga akan dalam keadaan taat dan beribadat.

Sehubungan itu, kita perlu sentiasa bermuhasabah ke arah mana waktu dihabiskan ketika hidup di dunia ini.

Dalam sehari, berapa bilangan kebaikan dan ketaatan serta ibadat yang kita lakukan? Jika al-Quran langsung tidak disentuh, tidak beristighfar, tidak berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, amalan bersedekah sukar dilakukan, maka kebaikan apa yang diharapkan boleh menyebabkan kehidupan kita diredai Allah SWT?

Tidak cukup hanya menunaikan solat lima waktu semata-mata kerana ibadat perlu sentiasa ada peningkatan.

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu memperbaiki amalan, mendekatkan diri kepada Allah dan berbahagialah. Sesungguhnya tiada amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga. Mereka (para sahabat) berkata: Apakah termasuk dirimu wahai Rasulullah? Ya, aku pun tidak, hanya Allah saja yang menganugerahkanku keampunan dan rahmat-Nya.” (Riwayat al-Bukhari)

Perkataan rahmat membawa beberapa makna antaranya ia bermaksud Islam. Tidak semua manusia memperoleh rahmat itu.

Sebagai insan terpilih yang dilahirkan sebagai umat Islam, rahmat itu perlu sentiasa disyukuri.

Selain itu, perkataan rahmat dalam al-Quran juga membawa maksud syurga. Ia adalah tempat terlalu istimewa bagi hamba-Nya yang berjaya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Adapun orang yang putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (syurga), mereka kekal di dalamnya.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 107)

Dalam peristiwa Israk Mikraj, Nabi Muhammad SAW diperlihatkan seluruh isi serta kedudukan syurga dan neraka.

Apabila Nabi Muhammad SAW menceritakan mengenai neraka, keadaan ahli neraka itu mereka tidak mati dan tidak juga hidup.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Selain daripada itu, ia tidak mati
di dalamnya dan tidak pula hidup senang.” (Surah Al-A'laa, ayat 13)

Api neraka itu tersangat panas dan berwarna hitam. Disebabkan itu, ahli neraka sentiasa merasa kesakitan lalu mereka memohon kepada Allah SWT untuk keluar.

Namun, golongan itu akan terus kekal di neraka selama-lamanya. Bagaimanapun, orang beriman masih berpeluang untuk keluar kerana di dalam hatinya masih berbaki “La ila ha illallah Muhammadur Rasulullah.”

Buat orang beriman, setiap ujian di dunia adalah bagi meningkatkan lagi darjatnya di sisi Allah SWT.

Daripada Anas bin Malik, beliau menyatakan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang reda dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah. (Riwayat al-Tirmidzi)

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 9:39 AM