Prof Emeritus Datuk Zakaria Stafa

DALAM tulisan lalu di ruangan ini sudah tersimpul bahawa sikap hidup zuhud merupakan model hidup yang mesti dihayati seluruh umat Islam.

Justeru, sikap hidup ini amat perlu diberikan pencerahan lebih lanjut karakternya bagi membolehkan umat Islam memahami dengan baik serta memudahkan mereka yang terdiri daripada pelbagai lapisan hidup merealisasikan dalam kehidupan.

Sesungguhnya, amat perlu dipertegaskan betapa hakikat keseluruhan kehidupan yang terbentang dalam dua fasa: Dunia dan akhirat tersebut, daripada perspektif Islam, jelas keunggulannya tertumpu kepada kehidupan akhirat berbanding kehidupan dunia seperti dicatat Yusuf al-Qaradawi dalam tulisan beliau Fi al-Tariq ila Allah: al-War' wa al-Zuhd: Sesiapapun yang membaca al-Qur'an daripada awal hingga akhir, sama ada daripada ayat Makiyyah atau pun Madaniyyah pasti yakin bahawa objektif al-Qur'an yang tulen mengenai kehidupan ialah bahawa manusia semestinya bersikap zuhud terhadap dunia, mereka juga mengenali kehinaannya dan kekurangannya.

Malah, al-Qur'an menggesa manusia supaya mengemari akhirat, memerihalkan kepada mereka kemuliaan akhirat serta kekekalannya dan akhirat terbabit di sisi Allah adalah lebih baik serta lebih kekal.

Demikian intisari yang mendasari mesej al-Qur'an mengenai kehidupan.

Kalaulah sudah sedemikian hakikatnya kehidupan yang dimaklumkan oleh sumber paling autoritatif dalam Islam itu, apa lagi pilihan yang ada pada seseorang Muslim yang taat kepada agamanya, selain daripada memilih gaya hidup zuhud?

Sekiranya pemilihan sedemikian tidak dibuat, bermakna dia adalah seorang Muslim yang melakukan jenayah besar terhadap agamanya sendiri.

Hal seumpama ini yang mesti dielak setiap Muslim dan kerana itu, berdasarkan gaya hidup semasa umat Islam di serata dunia, penstrukturan semula gaya hidup Muslim mesti dilakukan secara menyeluruh bagi menyelaraskannya dengan tuntutan ajaran Islam, sekali gus mengelak kalangan Muslim terus-terusan terperangkap dalam perlakuan jenayah yang amat buruk akibatnya untuk kehidupan akhirat.

Dalam kerangka untuk melanjutkan penjelasan berkaitan sifat zuhud ini, satu perihal penting yang mesti difahami ialah berkaitan pembahagian zuhud kepada beberapa kategori tertentu.

Pembahagian ini sesungguhnya boleh membina kefahaman mengenai bagaimana seharusnya kalangan Muslim, khususnya golongan awam dapat menghayati sikap hidup zuhud dalam kehidupan harian mereka.

Antara pembahagian tersebut adalah seperti berikut: Ibrahim b Adham-salah seorang zahid Muslim awal (100-165H/718-782M) membahagikan zuhud kepada tiga kategori: (a) zuhud fardu iaitu zuhud kepada perkara haram, (b) zuhud kepada perkara berlebihan iaitu zuhud terhadap perkara halal dan (c) zuhud untuk beroleh keselamatan iaitu zuhud kepada perkara subhah.

Sebahagian ulama lain juga membahagikan zuhud kepada tiga kategori: (a) zuhud kepada perkara haram, (b) zuhud kepada perkara mubah (perkara harus) dan (c) zuhud kepada perkara berlebihan (al-fudul).

Berdasarkan pembahagian zuhud berkenaan boleh disimpulkan bahawa setiap Muslim semestinya bersikap zuhud iaitu memalingkan kegemaran terhadap perkara haram.

Ini adalah satu aspek yang cukup asas dan tidak boleh sama sekali diceroboh, malah apalah maknanya zuhud sekiranya perkara haram pun diambil.

Namun yang lebih utama ialah sikap hidup zuhud terhadap perkara halal dan perkara mubah (harus) yang dimiliki seseorang.

Kedua-dua kategori ini mesti diberikan perhatian dan kedua-duanya juga memberi makna besar kepada sikap hidup zuhud.

Ini kerana tidak semua perkara halal dan mubah yang dimiliki seseorang itu perlu diambil dan digunakan, lebih-lebih lagi kalau pengambilannya membabitkan berlaku pembaziran dan keterlaluan dalam penggunaan keperluan hidup dunia.

Pada tahap pengambilan atau peninggalan perkara halal dan mubah ini yang akan menentukan nilai sebenar sikap hidup zuhud seseorang Muslim.

Hal ini bermakna bahawa seseorang Muslim itu akan hanya mengambil perkara halal dan mubah apabila ia memberi makna kepada kehidupan akhirat dirinya, kalau tidak demikian dia tidak mengambilnya untuk kepentingan dirinya, malah akan diinfaq kepada keperluan masyarakat yang juga akan memberi makna kepada pengutamaan kehidupan akhirat dirinya.

Penjelasan di atas bermakna bahawa kalangan Muslim awam, dalam praktik sikap zuhud mereka dalam kehidupan mestilah pada asasnya berzuhud kepada perkara haram dan seterusnya mesti berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan zuhud terhadap perkara halal dan mubah daripada apa jua perkara yang mereka miliki, termasuk misalnya kuasa dan pengaruh.

Manfaat kepada kehidupan bermasyarakat secara umumnya, malah kepada kehidupan akhirat zahid berkenaan sendiri akan terserlah apabila setiap Muslim mempraktikkan gaya hidup zuhud yang melibatkan perkara halal dan mubah yang dimiliki.

Ini kerana Muslim yang berzuhud itu hanya mengambil perkara halal dan mubah yang dimiliki sekadar keperluan tanpa sebarang pembaziran sedangkan selebihnya akan diinfaq untuk kesejahteraan masyarakat secara umum.

Penulis adalah Profesor Emeritus Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 5:59 AM