FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noor Mohamad Shakil Hameed

Lima permohonan cerai diterima daripada pasangan Islam dalam tempoh satu jam setiap hari. Itu angka mengejutkan yang didedahkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Dewan Rakyat baru-baru ini. Ini menimbulkan persoalan apakah urusan kahwin dan cerai sudah menjadi bahan permainan dalam kalangan anggota masyarakat kita?

Apa yang lebih membimbangkan ialah tatkala agama Islam begitu memuliakan urusan perkahwinan sehingga masyarakat sering mengibaratkan perkahwinan itu umpama membina masjid, pasangan Islam dilaporkan menjadi juara dalam urusan perceraian. Masjid yang dibina diruntuh sewenang-wenangnya. Mengikut rekod, bagi pasangan Islam setiap hari terdapat 121 kes penceraian berlaku, manakala bukan Islam pula 18 kes sehari.

Secara keseluruhannya, sebanyak 66,440 kes permohonan cerai difailkan di mahkamah syariah seluruh negara bermula awal pandemik Covid-19 iaitu Mac tahun lalu sehingga Ogos tahun ini. Walaupun ia menunjukkan bilangan kes permohonan cerai yang difailkan, sekali gus bukan bermaksud semua kes permohonan ini diluluskan dan berakhir dengan perceraian, namun bilangan kes yang difailkan ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa rapuhnya rumahtangga pasangan Islam di negara ini.

Lumrahnya, antara alasan yang sering dikemukakan oleh pasangan ini ialah tiada persefahaman, pasangan tidak bertanggungjawab dan campur tangan orang ketiga. Serangan pandemik Covid-19 turut dijadikan alasan kerana dilaporkan tertekan dengan masalah kewangan serta kos sara hidup yang tinggi.

Apapun punca dan juga alasan yang dikemukakan, kita masih tidak boleh membenarkan rumahtangga yang dibina itu dihancurkan dan dimusnahkan begitu saja. Perceraian sepatutnya menjadi pilihan dan jalan penyelesaian yang paling akhir sekali. Tapi, malangnya statistik menunjukkan seolah-olah pasangan suami isteri meletakkan perceraian sebagai jalan penyelesaian yang utama.

Ironinya pada hari ini kita melihat perceraian sudah menjadi satu trend yang sangat normal dalam masyarakat kita. Sudah banyak kes menunjukkan pasangan yang baharu berkahwin beberapa minggu atau bulan sudah boleh bercerai. Ini membawa kita kepada persoalan berikutnya, apakah mereka ini benar-benar memahami tujuan utama sesebuah perkahwinan.

Hakikatnya, apa yang berlaku pada hari ini ialah kebanyakan pasangan terlalu terburu-buru dalam membuat keputusan baik untuk berkahwin mahupun untuk berpisah. Trend beberapa selebriti misalnya, yang sering berkahwin dan bercerai boleh dijadikan contoh terbaik dalam isu ini.

Sepatutnya perkahwinan tidak boleh dibuat main, apatah lagi ia dipandang serius di sisi agama dan Islam juga tidak menggalakkan perceraian kerana ia akan mengakibatkan implikasi dan permasalahan yang besar disebabkan oleh perpisahan itu. Misalnya, boleh menjejaskan kebajikan anak, meruntuhkan institusi keluarga serta mencetuskan konflik yang berpanjangan.

Justeru, kita perlu mencari jalan penyelesaian supaya masalah sosial ini tidak berterusan dalam masyarakat kita. Ibu bapa misalnya, perlu memastikan anak-anak mereka sudah benar-benar bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan. Ingatkan mereka kita berkahwin bukan untuk suatu tempoh tertentu sebaliknya berharap akan kekal hidup bersama hingga ke akhir hayat masing-masing.

Dalam hal ini, sebagai penjaga kita perlu terapkan segala ilmu yang diperlukan seperti ilmu agama serta didikan selok-belok berumahtangga kepada anak-anak sebelum mereka melangkah ke alam perkahwinan. Pengalaman hidup, suka duka dan pahit maung yang telah dilalui oleh ibu bapa sepanjang perkahwinan mereka perlu dikongsi bersama dengan anak-anak agar mereka ambil iktibar dan pengajaran dalam menempuh zaman perkahwinan mereka kelak.

Dalam pada itu, setiap pasangan juga perlu sedar tanggungjawab masing-masing. Ingatlah kita berkahwin untuk hidup bersama dan juga demi memenuhi tuntutan agama. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan, justeru, setiap pasangan terutamanya yang baharu berkahwin perlu lebih banyak bertolak ansur dan memberi sedikit ruang dan masa kepada pasangan masing-masing untuk mengadaptasi diri di alam yang baharu ini. Jika gagal mencapai jalan penyelesaian dapatkan bantuan pakar kaunseling untuk membina semula keyakinan dan bukannya terus membuat keputusan untuk bercerai.

Tuntasnya, ambillah masa untuk membina persefahaman dan saling percaya kepada pasangan kerana perkahwinan itu dibina atas dasar saling yakin dan percaya antara satu sama lain. Percayalah cerai tidak menyelesaikan masalah apatah lagi jika sudah ada anak. Cuba bayangkan nasib dan masa depan anak yang tidak dapat hidup bersama ibu bapa.

Perceraian sebenarnya akan menimbulkan pelbagai lagi masalah susulan yang akan terus menghantui kehidupan kita. Justeru kita berharap pasangan yang baharu berkahwin terutamanya akan lebih rasional dan matang. Jangan mengambil sebarang keputusan dalam keadaan emosi terganggu atau ketika kita sedang marah. Fikirlah masak-masak sebelum membuat sesuatu keputusan besar seperti ini.

Walaupun jodoh itu ditentukan oleh takdir dan kuasa Tuhan namun kita tidak boleh jadikan ia sebagai alasan mudah untuk bercerai. Kita perlu berusaha untuk memastikan ikatan perkahwinan yang dibina dapat diselamatkan dan diteruskan sebaik mungkin. Ingatlah, kita tidak mahu perkahwinan terus dipersendakan seperti ini dan perkahwinan bukanlah satu permainan!

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 7:00 AM