Saya menerima banyak pertanyaan mengenai persiapan yang perlu dibuat untuk menghadapi masa depan tidak menentu terutama dalam situasi ekonomi sekarang ini termasuk penurunan harga minyak.

Penurunan atau kenaikan harga minyak secara mendadak sudah pasti akan mempunyai implikasi mendalam terhadap ekonomi negara dan dunia.

Apakah langkah yang boleh diambil oleh individu dalam kalangan masyarakat kita untuk mengelak atau mengurangkan kesan negatif yang akan mempunyai implikasi mendalam dan berpanjangan.

Di sini, saya akan kongsikan beberapa tip yang boleh diguna pakai oleh orang ramai dalam memastikan mereka sentiasa bersedia dalam apa juga situasi ekonomi.

n

Kurangkan hutang dengan segera seperti kad kredit, jika boleh jauhi skim beli dahulu bayar kemudian dan hutang-piutang yang kecil. Sebaik-baiknya jangan mempunyai kad kredit langsung dan hanya gunakan kad debit. Saya sendiri tidak mempunyai kad kredit dan hanya menggunakan kad debit untuk merancang setiap pembelanjaan. Kad debit akan membantu kita untuk mengelakkan perbelanjaan yang tidak diperlukan.

Jika mengunakan kad kredit, pastikan anda hanya belanjakan wang yang anda sudah sediakan untuk perbelanjaan terbabit dan harus dibayar semula kepada pihak kredit dalam tempoh yang diberikan.

n

Tingkatkan simpanan wang anda. Ketepikan antara 10 peratus daripada pendapatan anda setiap bulan. Kalau wang gaji yang dibawa pulang sebanyak RM2,000 sebulan, ketepikan kira-kira RM200 ke dalam akaun yang berasingan dan elak daripada menggunakannya. Sekiranya anda tidak dapat ketepikan 10 peratus, maka asingkan berapa saja yang boleh di ketepikan.

n

Pastikan pekerjaan anda dijaga serta elakkan sebarang masalah dengan majikan kerana lazimnya, pekerja yang tidak produktif akan didahulukan dalam senarai untuk diberhentikan kerja atau potongan gaji. Ini biasanya akan berlaku dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

n

Pastikan anda mempunyai wang tunai untuk menampung pembelanjaan sekurang-kurangnya selama enam bulan dan yang terbaik meningkatkannya kepada dua tahun. Sekiranya, wang anda dilaburkan dalam saham, emas, bon atau aset semasa, cairkan pelaburan itu untuk diketepikan. Nilai aset akan menjunam sekiranya berlaku krisis dan adalah bijak jika dicairkan lebih dahulu sebelum nilainya turun.

n

Pertingkatkan kemahiran dan ilmu anda dengan menghadiri kursus yang mempunyai kaitan dengan perniagaan majikan anda. Walaupun anda diberhentikan kerja, kemahiran yang ada dapat dijadikan aset bagi majikan yang lain. Majikan juga mahukan pekerja mereka menjadi aset kepada syarikat mereka.

n

Berniaga secara kecil-kecilan di Internet, membuka warung kecil atau perniagaan yang tidak memerlukan kos yang tinggi. Berniaga menerusi Internet adalah konsep yang popular terutama bagi generasi muda. Dapatkan juga ilmu perniagaan sebelum memulakan sebarang perniagaan yang membabitkan kos tinggi. Saranan saya supaya lebih baik mulakan perniagaan yang berkos rendah.

n

Elakkan pembelian mewah seperti kereta, motosikal, perabot, ubah suai rumah, pakej percutian dan barangan berharga tinggi dan nilainya yang merosot setiap tahun.

n

Bagi anda yang akan bersara dan masih sihat, cuba lanjutkan pekerjaan supaya anda mempunyai pendapatan untuk menyara kelangsungan hidup. Bagi anda yang masih bekerja, pastikan juga menjaga kesihatan supaya anda dapat terus produktif dan juga mengelakan diri daripada kos perubatan yang tinggi untuk sakit kronik. Dapatkan pemeriksaan kesihatan awal dan tetap setiap tahun apabila usia sudah menjangkau 40 tahun.

n

Berhati-hati apabila anda melabur di pasaran saham dan elakkan sikap berspekulasi kerana risikonya amat tinggi dalam keadaan ekonomi yang tak menentu. Ramai yang terikut-ikut untuk melabur tanpa ilmu yang betul hanya kerana melihat orang lain. Pastikan anda tahu apa yang anda lakukan.

n

Tingkatkan keharmonian keluarga anda kerana apabila krisis kewangan berlaku, isteri atau suami dan anak-anak selalu menjadi mangsa kerana anda gagal untuk mengawal keadaan yang tidak menentu. Wang boleh dicari tetapi keharmonian keluarga tiada nilai yang setanding dengannya.

n

Banyakkan solat syukur, dhuha dan tahajud sambil berdoa mengharapkan rahmat dan perlindungan daripada Maha Esa. Mendahulukan segalanya untuk Allah dalam setiap perkara akan memberikan anda perasaan yang lebih menyakinkan.

n

Dapatkan ilmu kewangan kerana ia sangat penting dalam memastikan anda dalam keadaan yang stabil serta akan membantu membuat keputusan yang lebih bijak.

Ilmu kewangan perlu dijadikan kemestian untuk setiap individu di Malaysia. Dapatkan ilmu kewangan yang betul daripada mereka yang dipercayai dan tidak mempunyai kaitan dalam sebarang pelaburan atau tidak mempunyai sebarang produk yang dijual.

Ingin dimaklumkan setiap pandangan saya adalah daripada pengalaman sendiri yang berkecimpung dalam dunia perniagaan dan perusahaan yang membabitkan dunia kewangan.

Dinasihatkan supaya setiap keputusan yang ingin diambil oleh pembaca, haruslah berbincang bersama penasihat kewangan persendirian jika ada. Untuk maklumat lanjut mengenai ilmu kewangan atau tip percuma boleh melayari www.abangabu.com. Semoga panduan di atas berguna untuk kita semua.

Penulis adalah Perunding dan pakar kewangan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 5:05 AM