TRUMP (kiri) dan Biden. FOTO AFP
TRUMP (kiri) dan Biden. FOTO AFP
Syarifah Dayana Syed Bakri

Ketika zaman sekolah rendah dahulu, perbuatan mengejek adalah perkara biasa. Nampak orang tampil pelik sikit, pasti ada mulut nakal yang mengejek.

Itu belum kira mengejek keadaan fizikal atau zaman sekarang lebih mudah difahami sebagai body shaming.

Kebiasaannya, ejek-mengejek ini sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak atau mereka yang belum matang.

Namun, orang tua juga tidak ketinggalan terjebak perbuatan sama, malah lebih teruk, orang tua dalam kalangan pemimpin dunia.

Awal bulan ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan seterunya dalam merebut jawatan presiden bagi musim baharu, Joe Biden bertentang mata dalam pusingan pertama debat presiden.

Dalam acara berkenaan, Trump mentertawakan lawannya, Joe Biden kerana mengambil langkah berhati-hati dalam siri kempennya di saat pandemik Covid-19 masih membimbangkan.

Dia melekehkan usaha Biden dan mengatakannya mengambil terlalu banyak langkah berjaga-jaga terhadap virus.

"Dia (Biden) boleh bercakap dari jarak 200 kaki dari anda, tetapi dia memakai pelitup muka terbesar pernah saya lihat," katanya seperti dilaporkan AFP.

Ketika awal pandemik itu berlaku di AS, Biden, 77, mengasingkan diri di kediamannya di Delaware dan Trump menggelarnya sebagai Sleepy Joe kerana 'bersembunyi' di ruang bawah tanah, satu tuduhan yang disokong oleh penyokong Trump dan acapkali digunakan penyokong kem Trump.

Namun, siapa sangka ejekannya memakan diri apabila Trump diduga dengan jangkitan virus berkenaan selepas disahkan positif Covid-19, minggu lalu.

Trump dilaporkan menjalani rawatan di suite serba mewah di Hospital Tentera Walter Reed di Maryland.

News.com.au minggu lalu melaporkan Trump menjalani rawatan di wad mewah di hospital itu yang dikenali sebagai Suite Presiden atau Wad 71. Pada 6 Oktober lalu, Trump dilihat meninggalkan hospital tempatnya mendapat rawatan dan mengumumkan akan 'kembali menyertai jelajah kempen pemilihan Presiden tidak lama lagi.'

Dengan memakai pelitup muka, dia melangkah keluar dari hospital dekat Washington, mengangkat tangan menunjukkan isyarat tanda bagus ketika memasuki kenderaan yang membawanya menuju ke helikopter.

Trump juga membuat hantaran di Twitter dan berkata: "Rasa sangat baik! Jangan takut dengan Covid-19. Jangan biarkan ia menguasai hidup kamu."

Bagaimanapun, kata-katanya mengundang rasa kurang senang Gabenor New York, Andrew Cuomo yang menyifatkan Trump hanya menunjukkan contoh buruk kepada masyarakat dengan meremehkan ancaman Covid-19.

"Tarafnya sebagai presiden tidak sama dengan orang lain di negara ini. Jika orang biasa dijangkiti Covid-19, dia tidak akan diterbangkan dengan helikopter ke Pusat Perubatan Walter Reed.

"Mereka juga tidak mungkin menerima rawatan atau mempunyai akses kepada ubat-ubatan seperti mana dikhususkan bagi presiden," katanya.

Nada sama mungkin boleh diguna pakai dalam konteks Malaysia. Ketika ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri masih dirawat di hospital selepas dijangkiti Covid-19.

Beliau adalah seorang yang dihormati kerana peribadi yang menyenangkan namun kini menjadi mangsa ejekan segelintir individu yang tidak berpuas hati beliau tidak mengasingkan diri selama 14 hari selepas pulang dari Sabah walaupun ujian swab kali pertama dilakukan menunjukkan keputusan negatif.

Tidak cukup dengan ejekan atau troll di media sosial, ada juga individu mereka poster grafik menggambarkan beliau menyebarkan virus. Sungguh biadab.

Ingatlah apa berlaku kepada Trump. Seronok mengejek orang lain, sudahnya dia pula dimasukkan ke hospital.

Berpada-padalah kita meluahkan kekecewaan, jangan sampai tahap mengejek dan merendahkan orang lain. Virus Covid-19 tidak memilih mangsa.

Semua tahu apa perlu dilakukan untuk melindungi diri dan keluarga daripada virus kejam ini. Kita jagalah diri kita.

Peribahasa menyebut orang tua jangan diperut seperti rotan, dululah dia merasa garam.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita, Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 7:15 AM