ORANG ramai memakai pelitup muka dalam pengangkutan awam.
ORANG ramai memakai pelitup muka dalam pengangkutan awam.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Menjengah Oktober esok menandakan seluruh dunia kini sudah hidup 'serasi' selama hampir 10 bulan bersama Covid-19. Ia bermakna hampir setahun kita berpapasan dengan Covid-19, sama ada secara sedar atau tidak.

Entah berapa lama lagi kita akan hidup seperti ini memandangkan vaksin Covid-19 masih dalam fasa pembangunan dan ujian klinikal.

Namun berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu daripada ratusan sidang media harian dikendalikannya, walaupun vaksin Covid-19 sudah berada di pasaran dan disuntik ke atas pengguna, protokol kesihatan masih perlu diamalkan. Ia termasuk menjaga jarak fizikal, mengasingkan diri jika bergejala dan mencuci tangan menggunakan sabun dengan kerap.

Ia umpama memakai dua lapisan perlindungan dalam memastikan diri kita terpelihara daripada wabak berkenaan.

Protokol kesihatan yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dihasilkan bagi memberi panduan kepada orang ramai untuk menjaga diri apabila berada di tempat awam.

Saya yakin tidak ada niat langsung kakitangan KKM atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menyusahkan orang ramai dengan pelbagai 'boleh' dan 'tidak boleh' yang disenaraikan.

Sebagai contoh, pemakaian pelitup muka di tempat awam. Bagi mereka yang faham fungsi pemakaian pelitup muka, peraturan ini bukan masalah besar untuk dipatuhi.

Namun bagi mereka yang gemar membuat andaian sendiri berdasarkan pelbagai 'sumber bacaan' di media sosial, pemakaian pelitup muka hanya menyusahkan orang ramai.

Di Amerika Syarikat (AS), wujud satu istilah yang merujuk kepada individu yang gemar membantah apa saja saranan kerajaan dan menganggap mereka jauh lebih pandai.

Mereka ini digelar Karen. Pada awalnya, istilah ini merujuk kepada wanita yang mahu berjumpa pengurus pasar raya kerana tidak berpuas hati dengan apa saja perkara, termasuk yang remeh.

Dalam era Covid-19 ini, istilah Karen digunakan bagi merujuk mereka yang enggan mengenakan pelitup muka di tempat awam dan 'mahu berjumpa pengurus' sekiranya pekerja meminta mereka mengenakan perlindungan berkenaan.

Berdasarkan laporan BBC, kebiasaannya golongan ini adalah antivaksin dan gemarkan teori konspirasi yang bertebaran di media sosial termasuk sering menyebarkan maklumat salah berkaitan Covid-19.

Karen tidak hanya eksklusif di negara Barat. Sebaliknya individu berperangai seperti Karen ada di seluruh dunia.

Di Indonesia, sebagai contoh maklumat salah mengenai Covid-19 dikongsi secara meluas. Ada antara mereka yang percaya Covid-19 sebenarnya tidak wujud sebaliknya ia adalah rekaan syarikat besar yang menawarkan vaksin.

Berdasarkan laporan Jakarta Post baru-baru ini, Indonesia mencatatkan kes baharu melebihi angka 4,000 setiap hari. Hampir 10,000 individu juga menjadi korban pandemik berkenaan.

Menurut laporan itu, hasil survei dijalankan Kementerian Kesihatan Indonesia mendapati terdapat warga Indonesia tidak percaya kewujudan Covid-19 yang menyebabkan mereka memandang ringan protokol kesihatan ditetapkan kerajaan.

Justeru, pihak jawatankuasa Covid-19 nasional membentuk unit 'perubahan tingkah laku' bagi meningkatkan kesedaran orang awam terhadap bahaya virus berkenaan.

Kerana itu, ada kes segelintir ahli keluarga jenazah mangsa Covid-19 berdegil mahu menguruskan pengebumian mengikut cara biasa kerana pada mereka virus itu tidak bahaya.

Karen juga wujud di Malaysia. Namun, ia tidak seagresif Karen mat saleh. Karen di Malaysia juga gemar mempersoal setiap saranan kerajaan dan menganggap pemakaian pelitup muka menyusahkan selain suka tunjuk pandai tak kena tempat.

Baru-baru ini, saya terbaca satu komen di akaun media sosial Dr Noor Hisham berkaitan pembelian ventilator baharu. Seorang pengguna memberi komen 'tunjuk pandai' dengan mempersoalkan kebersihan ventilator itu kerana pada pandangannya kematian pesakit Covid-19 adalah akibat jangkitan kuman pada ventilator dan bukan kerana virus berkenaan.

Malah, dengan beraninya dia mencadangkan pengambilan produk yang didakwa boleh menyembuhkan Covid-19.

Apabila dijenguk akaun si tukang komen, rupa-rupanya dia adalah penjual produk.

Jangan anggap golongan ini berhati mulia mahu membantu orang ramai sedar 'muslihat' kerajaan kerana pasti ada sesuatu yang 'menguntungkan' menanti mereka.

Kebiasaannya, golongan ini menjual sesuatu. Mereka tidak mahu kita mengikut saranan kerajaan sebaliknya mahu kita beli produk atau perkhidmatan mereka.

Jika ada masalah timbul kemudian hari, mereka lari lebih laju daripada Usain Bolt.

Tak perlu merujuk Karen untuk dapatkan maklumat sahih. Di Malaysia, kita ada Noor Hisham.

Ikut pesanan yang dititipkan setiap hari. Usah bersikap bagai buntal kembung sehingga berasakan kita saja pandai, kita saja ada hak, kita saja lantang bersuara.

Penulis Pengarang Berita, Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 5:59 AM