BANYAK yang kita lalui sepanjang 100 hari PKP dan ironinya wabak ini masih belum berakhir. FOTO Arkib NSTP
BANYAK yang kita lalui sepanjang 100 hari PKP dan ironinya wabak ini masih belum berakhir. FOTO Arkib NSTP
Noor Mohamad Shakil Hameed

SELEPAS 100 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak yang boleh diperkatakan berkaitan wabak Covid-19 yang melanda negara kita.

Pandemik yang menggoncang seluruh dunia dan mengubah kehidupan umat manusia ini bakal disematkan dalam sejarah sebagai antara virus yang begitu cepat merebak dan ramai yang menjadi mangsa korbannya.

Malah, sehingga ke hari ini belum ditemukan lagi vaksin untuk menyembuhkannya. Justeru, anggota masyarakat perlu ambil iktibar dengan apa yang dilalui selama ini supaya segala kesabaran, semangat juang serta pengorbanan kita tidak menjadi sia-sia.

Menyedari hakikat virus ini semakin merebak dan mula memberikan ancaman besar kepada kehidupan manusia, Malaysia memulakan langkah serius untuk menangani wabak ini melalui penguatkuasaan PKP secara berfasa bermula 18 Mac 2020 sehinggalah kini kita berada dalam PKP Pemulihan (PKPP) yang dikuatkuasakan sehingga 31 Ogos 2020.

Pihak kerajaan terpaksa membuat keputusan yang cukup berat dengan mengisytiharkan PKP demi menyelamatkan nyawa rakyat dari terus diancam oleh virus berbahaya ini.

Secara umumnya, banyak yang kita lalui sepanjang 100 hari PKP dan ironinya wabak ini masih belum berakhir, sebaliknya terus berada bersama kita.

Oleh itu, di samping kita bersyukur kerana dapat mengawal penularan wabak ini dengan baik melalui komitmen semua pihak terutama barisan petugas hadapan, jangan lupa banyak lagi cabaran yang menunggu kita selepas ini.

Tegasnya, perang melawan dan memerangi virus ini belum berakhir. Kita masih berada di tengah-tengah medan peperangan.

Justeru, pasukan petugas hadapan masih memerlukan kerjasama dan komitmen penuh seluruh lapisan masyarakat dalam memutuskan sepenuhnya rantaian penularan virus ini.

Hakikatnya, memasuki fasa pemulihan ini pihak kerajaan sudah mula memberikan pelbagai kelonggaran supaya hampir semua sektor ekonomi, pendidikan dan sosial dapat dibuka dan beroperasi semula.

Ini memang wajar kerana tidak mungkin kita dapat tunggu sehingga wabak ini berakhir atau sehingga vaksin ditemukan kerana tidak tahu bila perkara ini akan berlaku.

Justeru, kehidupan perlu diteruskan namun apa yang penting sekarang ialah tahap kesedaran dalam kalangan anggota masyarakat kita.

Ironinya segala kelonggaran yang sudah dan sedang diberikan secara berperingkat ini datang dengan tanggungjawab yang besar.

Setiap individu perlu memikul tanggungjawab untuk sekurang-kurangnya menjaga diri dan keluarga masing-masing.

Jika ini dapat dilakukan kita yakin dapat memutuskan sepenuhnya rantaian penularan wabak ini sekali gus menjayakan fasa pemulihan yang sedang berkuatkuasa ini.

Malah, sudah tentu ia juga akan menyumbang kepada pencapaian sasaran sifar kes yang ditetapkan oleh pihak berkuasa menjelang pertengahan Julai ini.

Oleh itu, dengan mengambil iktibar dan pengajaran daripada 100 hari PKP, marilah kita perbaharui tekad untuk terus menjadi warganegara yang bertanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Sudah tentu kita tidak mahu PKP dilaksanakan semula yang menyebabkan hampir semua sektor terpaksa ditutup dan kita pula terpaksa terperuk di rumah.

Tetapi, harus diingat jika kita salah guna kelonggaran yang diberikan serta lalai dan cuai maka tidak mustahil pihak kerajaan melaksanakan semula PKP.

Untuk rekod, perkara ini sudah berlaku di kebanyakan negara luar apabila selepas PKP ditamatkan, rakyat mereka terlalu cepat leka dan alpa menyebabkan kes baharu meningkat semula, dan akhirnya pihak kerajaan mereka menguatkuasakan semula PKP.

Apakah kita mahu senario sama berlaku di negara kita? Tepuk dada dan tanya minda masing-masing dan penulis percaya sudah tentu jawapannya ialah tidak!

Justeru, bagi mengelak kes baharu meningkat semula, pastikan kita mematuhi segala arahan, nasihat serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jangan biarkan SOP hanya tinggal SOP di atas kertas semata-mata, sebaliknya kita perlu mematuhi sepenuhnya.

Ia sangat penting kerana pemerhatian penulis sendiri di beberapa lokasi seperti pasar raya, restoran dan tempat awam mendapati sudah ada dalam kalangan anggota masyarakat kita yang tidak begitu mengendahkan lagi aspek penjarakan sosial serta ramai juga yang sudah mula tidak memakai pelitup muka di tempat awam/orang ramai.

Kita khuatir sikap acuh tak acuh segelintir anggota masyarakat seperti ini boleh menyebabkan wabak ini kembali merebak, meningkatkan jumlah kes serta membahayakan semua orang.

Oleh itu, demi keselamatan semua pihak kita memohon kerjasama seluruh anggota masyarakat agar sentiasa berhati-hati dan patuhi SOP yang ditetapkan.

Ingat, kita belum bebas sepenuhnya dari ancaman wabak ini.

Sebagai peringatan bersama, walaupun serangan virus ini kelihatan seperti reda, tetapi menurut Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, jangkitan semakin teruk di seluruh dunia di mana jumlah jangkitan kes baharu dijangka mencapai 10 juta dalam masa terdekat dengan angka kematian 500,000.

Justeru, sedarlah betapa kelekaan kita bukan saja boleh membiarkan virus ini terus bermaharajalela, tetapi akan turut menyebabkan PKP kembali dilaksanakan di negara kita.

Jadi teruskanlah gaya hidup norma baharu seperti mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka apabila bergejala atau berada di tempat awam serta kerap membasuh tangan dan menggunakan pensanitasi tangan.

Jadikan 100 hari PKP yang sudah kita lalui itu sebagai iktibar dan pengajaran yang sangat perit dan berguna dalam mengharungi cabaran kehidupan kita yang seterusnya.

Penulis pentadbir universiti awam dan penganalisis isu semasa

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 7:45 AM