GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Mohamad Shakil Hameed

PENGUMUMAN penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberikan kepada orang ramai dalam menjalani kegiatan seharian.

Ini sebahagian daripada strategi keluar daripada PKP yang mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020 diikuti dengan PKPB sejak 4 Mei 2020. Langkah agresif dan proaktif yang diambil kerajaan selama ini akhirnya mula membuahkan hasil dengan mengurangkan penularan kes baharu Covid-19 terutama dalam kalangan warganegara.

Dengan penguatkuasaan PKPP, hampir semua kegiatan sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan dan sektor ekonomi akan beroperasi semula secara berperingkat. Misalnya, perjalanan rentas negeri, lebih banyak aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak melibatkan sentuhan serta pelancongan domestik sudah dibenarkan.

Malah, sambutan Aidiladha dan ibadah korban turut dibenarkan. Kita percaya segala kebenaran yang diberikan ini akan merancakkan semula sektor ekonomi serta kehidupan sosial rakyat. Namun, harus diingat wabak ini boleh tular atau merebak kembali dan memaksa kerajaan melaksanakan semula PKP jika kita terlalu leka dan cuai dalam meraikan kelonggaran yang diberikan ini.

Ironinya, PKPP ini menuntut perubahan sikap dan lebih banyak tanggungjawab kawalan kendiri daripada rakyat. Amalan kebiasaan baharu dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bukan lagi satu pilihan kepada kita. Kini, rakyat perlu memainkan peranan lebih serius jika mahu negara keluar daripada ancaman wabak ini.

Ringkasnya, kejayaan fasa pemulihan ini sebenarnya banyak bergantung kepada kesanggupan rakyat dalam mengubah sikap, memikul tanggungjawab dan meningkatkan tahap disiplin diri dalam berhadapan dengan ancaman wabak ini.

Oleh itu, demi memastikan kita berjaya dalam fasa pemulihan ini, segala kelonggaran yang kerajaan berikan perlu disahut dengan kerjasama dan komitmen penuh setiap anggota masyarakat. Hal ini sangat penting kerana semua pihak mengakui virus ini akan berada dengan kita untuk suatu tempoh masa yang lama. Tidak mungkin kita dapat menghapuskan sepenuhnya virus ini dalam jangka masa terdekat.

Ini ditambah pula dengan situasi masih belum ada sebarang berita kejayaan penemuan vaksin untuk mengubati virus ini. Jadi kita tidak boleh leka mahupun lalai kerana ancaman wabak ini sentiasa ada dan boleh terus tular dan mencetuskan kluster baharu.

Rakyat perlu lebih berhati-hati selepas ini misalnya, kita perlu mengambil inisiatif yang lebih serius menjaga dan melindungi diri dan keluarga masing-masing. Jangan sesekali meletak tanggungjawab itu di bahu petugas barisan hadapan semata-mata. Hakikatnya, sejak tercetusnya wabak ini, petugas barisan hadapan melakukan yang terbaik untuk mengawal dan menghentikan rantaian penularan wabak di samping memberikan rawatan yang efisien. Justeru, sudah tiba masanya anggota masyarakat mengambil alih peranan dan tanggungjawab menjaga diri masing-masing bagi meneruskan kehidupan dalam normal baharu.

Harus diingat pembukaan lebih banyak sektor akan turut membuka lebih banyak ruang penularan wabak ini dan ia sangat sukar untuk dikawal oleh pihak berkuasa semata-mata. Jadi langkah pertama perlu bermula dengan kita sendiri. Paling penting sekarang pastikan kita dan seluruh anggota keluarga terus mengamalkan disiplin penjagaan kebersihan yang tinggi.

Amalan kerap mencuci tangan, menggunakan sanitasi tangan, memakai pelitup muka di tempat awam dan mengelakkan berada di tempat sesak serta bergejala dan amalan penjarakan sosial perlu terus menjadi gaya hidup kita sepanjang masa. Ini sikap dan tanggungjawab yang tidak boleh dikompromi lagi.

Misalnya golongan bayi, kanak-kanak dan warga emas antara kelompok yang berisiko tinggi dan mudah terkena jangkitan wabak ini, maka eloklah memberikan tumpuan khusus kepada kesihatan dan keselamatan mereka.

Seboleh-bolehnya elak membawa mereka ke tempat awam yang sesak dan boleh mengundang pelbagai risiko. Jangan leka atau cuai dalam soal ini kerana boleh mengancam nyawa mereka. Pastikan kita menghayati sepenuhnya slogan #KitaJagaKita.

Dalam konteks ini, rakyat juga perlu terus mematuhi segala arahan dan SOP yang ditetapkan pihak berkuasa. Disiplin untuk mematuhi arahan dan SOP perlu diterapkan dalam diri supaya kita dapat membantu memutuskan terus rantaian penularan wabak ini. Kita tidak mahu wujud budaya takut dan mematuhi peraturan bila dipantau oleh pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya kita wajib mendisiplinkan diri untuk sentiasa mematuhi peraturan walaupun tiada siapa yang melihat atau memantau setiap gerak-geri kita. Ini penting kerana selepas ini tidak mungkin pihak berkuasa mampu menempatkan anggota keselamatan di semua lokasi pada setiap masa bagi memantau aktiviti anggota masyarakat.

Dalam pada itu, tidak lama lagi sekolah akan dibuka semula dan ini juga menuntut peranan dan tanggungjawab besar daripada anggota masyarakat terutama ibu bapa. Ibu bapa perlu sedar tugas menjaga kesihatan dan melindungi keselamatan anak-anak bukan tanggungjawab sekolah dan guru semata-mata.

Justeru, ajar dan didik anak-anak tentang cara menjaga dan melindungi kesihatan dan keselamatan diri di samping amalan kebersihan yang sewajarnya. Jika ibu bapa dapat membantu dalam soal ini, kita boleh mencegah ancaman jangkitan kluster sekolah. Malah ini juga akan membantu guru agar lebih memberi perhatian kepada aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Jelas sekali, fasa pemulihan ini sebenarnya lebih mencabar dan kejayaannya banyak bergantung kepada diri kita. Kalau mahu berjaya, pastikan kita meningkatkan tahap disiplin, bersedia memikul tanggungjawab menjaga dan melindungi diri dan keluarga serta mengubah sikap, tingkah laku dan cara hidup dalam normal baharu secara total. Ingatlah, melindungi keluarga dan negara tanggungjawab kita bersama!


Penulis Timbalan Pengarah Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 6:00 AM