GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
R S Sarada Devi dan Azlan Shah Nazrudin

TIDAK mahu tidak, penularan wabak Covid-19 memberi kesan kepada masyarakat serta individu dalam menghadapi kehidupan seharian.

Keadaan itu dilihat semakin menggusarkan apabila kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara rasmi bagi menyekat pergerakan orang awam untuk mengawal penularan wabak itu.

Situasi ini mewujudkan kesan kepada psikologi masyarakat serta individu.

Hakikatnya, masyarakat berdepan pelbagai isu emosi seperti risau, gemuruh serta tekanan. Perkara ini mampu membuatkan masyarakat cemas dan ramai mula membuat pembelian panik terutama bekalan makanan.

Kajian psikologi daripada pandemik yang sebelum ini seperti Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) mendapati tempoh PKP atau kuarantin sepanjang tempoh pandemik mempunyai hubungan signifikan dengan isu psikologi seperti tekanan emosi.

Secara psikologi, individu mungkin akan menghadapi corak pemikiran negatif yang boleh menjejas emosi mereka sepanjang PKP dilaksanakan.

Emosi negatif di sini merujuk kepada segala pemikiran negatif berkaitan diri sendiri, tidak berpuas hati mengenai masa depan, kesulitan dalam hubungan rumah tangga, kesukaran dalam menyampaikan emosi positif, perasaan terasing dari ahli keluarga dan rakan-rakan.

Justeru, setiap individu perlu mengambil langkah positif untuk mengekalkan kestabilan emosi ketika menghadapi situasi ini.

Aspek penyesuaian diri memainkan peranan penting dalam menentukan kefungsian mental serta tingkah laku seseorang untuk menjaga kestabilan emosi bagi menjalani perubahan dalam aktiviti harian.

Terdapat beberapa teknik psikologi yang membantu dalam mengatasi tekanan emosi individu serta membantu dalam mengekalkan kestabilan emosi.

Misalnya, mengawal suhu badan dengan merenjiskan air di muka atau memegang kiub ais akan membantu untuk menenangkan diri secara fizikal dan emosi.

Begitu juga dengan senaman ringan yang mampu meningkatkan hormon endorfin untuk menenangkan fikiran. Teknik relaksasi otot juga dilakukan dengan menegangkan otot selama 10 hingga 15 saat secara kuat dan kemudian merehatkan otot itu selama 15 hingga 20 saat juga membantu mengurangkan tekanan.

Bagi menangani emosi keresahan dan ketakutan dijangkiti virus itu, masyarakat perlu melihat pada aspek rasional bagaimana menularnya wabak Covid-19 itu.

Isu emosi ketakutan seperti ini dapat ditangani melalui kemahiran penerimaan sumber maklumat yang boleh dipercayai mengenai wabak Covid-19.

Individu perlu menerima realiti dan amalkan pemikiran positif. Pemikiran yang rasional adalah penting untuk menangani emosi kerisauan sepanjang krisis Covid-19.

Emosi kecewa dan bosan juga adalah antara isu emosi yang berkemungkinan dihadapi seseorang individu sepanjang situasi ini.

Keadaan seperti terkurung di rumah, perubahan dalam rutin harian serta kekurangan dalam perhubungan sosial atau fizikal juga boleh menimbulkan isu emosi yang tidak stabil.

Oleh itu, emosi berkenaan dapat diatasi dengan membabitkan diri dalam aktiviti yang boleh mencerdaskan minda dari emosi negatif.

Di samping itu, digalakkan bagi setiap individu untuk menggunakan teknik melatih minda untuk menilai kekecewaan dari perspektif yang berbeza.

Mengalihkan emosi yang tertekan seperti perasaan kecewa atau bosan dengan melakukan aktiviti menonton filem berunsur lucu, membaca buku motivasi serta melakukan aktiviti kraf yang boleh mengalihkan pemikiran ke arah yang positif serta lebih kreatif.

Tingkatkan fokus pada perkara yang positif untuk menikmati ketenangan dalaman juga adalah teknik mengalihkan pemikiran yang efektif.

Penjagaan kesihatan, pemakanan sihat dan tidur yang cukup adalah faktor yang penting untuk membantu mengekalkan emosi yang stabil, mewujudkan waktu santai untuk luahan emosi bersama ahli keluarga juga teknik terbaik bagi menghilangkan emosi sedih dan letih.

Teknik ini boleh membantu mengekalkan perhubungan yang sihat serta membina sistem sokongan yang kuat bersama ahli keluarga.

Secara keseluruhannya, kestabilan emosi dalam menangani krisis Covid-19 ini adalah penting bagi memastikan setiap individu menjalani rutin harian tanpa sebarang tekanan.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk berusaha mengekalkan kestabilan emosi dengan amalan sikap yang positif demi menjaga kesejahteraan mental, fizikal dan sosial.

Penulis adalah Pegawai Psikologi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Pemangku Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 6:59 AM