GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Penularan pandemik Covid-19 dan lonjakan kes positif wabak berkenaan sejak kebelakangan ini secara tidak langsung mewujudkan kesan kepada psikologi masyarakat serta individu untuk menghadapinya.

Pensyarah Jabatan Pendidikan Perubatan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Kampus Kesihatan Kubang Kerian, Dr Mohd Zarawi Mat Nor berkata, dalam situasi ketika ini, masyarakat berdepan pelbagai isu emosi seperti risau dan tertekan.

Beliau berkata, masyarakat pada hari ini harus menerima hakikat apabila minda perlu bersedia menerima normal baharu dalam kehidupan susulan pandemik Covid-19 dan tidak cepat mengalah dengan situasi ketika ini.

"Sebagai contoh, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu, ramai hilang pekerjaan selain dibayar separuh gaji oleh majikan mereka.

"Namun, kita boleh mendidik diri untuk melakukan apa sahaja pekerjaan bagi meneruskan kehidupan selepas ini seperti melakukan aktiviti atau urus niaga dalam talian yang boleh menjana pendapatan.

"Ada sesetengah individu mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan kemelut kewangan dihadapi mereka dengan cara berhutang dan dalam situasi sekarang, seboleh-bolehnya elakkan berhutang kerana ia langkah sementara untuk jangka pendek sahaja," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zarawi berkata, dalam menghadapi krisis Covid-19, sokongan moral daripada keluarga amat penting dan ketua keluarga perlu memberi kefahaman jelas mengenai kedudukan sebenar kepada pasangan dan anak.

Beliau berkata, apabila bercerita secara telus mengenai masalah dihadapi, mereka boleh memberi sokongan moral untuk melalui saat sukar bersama-sama.

"Tidak dinafikan sepanjang tempoh PKP atau kuarantin, ia mempunyai hubungan signifikan dengan isu psikologi seperti tekanan emosi terutama corak pemikiran negatif seseorang individu yang boleh menjejas emosi mereka.

"Keupayaan penyesuaian diri memainkan peranan penting dalam menentukan kefungsian mental serta tingkah laku seseorang untuk menjaga kestabilan emosi bagi menjalani perubahan dalam aktiviti harian yang dianggap normal baharu.

"Justeru, setiap individu perlu menerima realiti dan amalkan pemikiran positif. Dalam situasi sekarang, pemikiran rasional penting untuk menangani kerisauan kerana wabak ini bukan diminta dan ia berada di luar kemampuan kita," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 7:41 PM