BERSAMA Maerogel ciptaannya. FOTO Hafiz Sohaimi
BERSAMA Maerogel ciptaannya. FOTO Hafiz Sohaimi
Zaitie Satibi


AKTIVITI sindiket mengutip derma secara tidak sah semakin berleluasa di negara ini dengan jumlah kes dilapor semakin meningkat saban tahun menjadi pencetus kepada penubuhan Yayasan MyPrihatin dengan matlamat terasnya membantu pesakit kronik jantung kanak-kanak.

Usaha murni itu dijalankan dengan kerjasama Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) sejak 2016.

Malah, menerusi program MyHeart sudah ramai pesakit jantung kanak-kanak dibantu apabila Yayasan MyPrihatin memainkan peranan membawa pesakit ke IJN menjalani pemeriksaan dan rawatan.

Yayasan MyPrihatin menanggung segala kos diperlukan membabitkan kos logistik dan sara diri, manakala Yayasan IJN menampung kos rawatan.

Dana Yayasan MyPrihatin sumbangan orang ramai menggunakan platform teknologi maklumat dan komunikasi yang mudah, pantas serta lebih telus.

Ini bagi memastikan rakyat yang prihatin dapat menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan tanpa berasa curiga.

Namun, stigma kebanyakan orang menganggap bantuan perlu diberi dalam bentuk wang ringgit atau harta benda menjadi cabaran kepada Yayasan MyPrihatin dalam menyampaikan sumbangan.

Sehubungan itu, bawah kepemimpinan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Profesor Datuk Dr Halimaton Hamdan, 63, mengubah stigma itu supaya penyampaian bantuan mencakupi ilmu, kemahiran dan perkhidmatan.

“Saya mendapati segelintir orang Malaysia tidak biasa susah, malah mereka yang tidak layak juga mahukan bantuan.

“Mereka juga menganggap jika tidak beri duit atau barangan ia bukanlah dinamakan bantuan.

“Oleh itu, saya mahu ubah tanggapan sebegini. Bukan hanya wang atau barangan, menyampaikan ilmu juga adalah satu bentuk bantuan.

“Seperti ditekankan dalam peranan yayasan ini, kami menawarkan perkhidmatan membawa pesakit ke tempat rawatan contohnya menyewakan kenderaan bukan memberikan tambang semata-mata,” jelasnya.

TERIMA lawatan Tun Mahathir Mohamad dalam satu pameran. FOTO Hafiz Sohaimi
TERIMA lawatan Tun Mahathir Mohamad dalam satu pameran. FOTO Hafiz Sohaimi

Dr Halimaton yang pernah bergelar ahli akademik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selama 33 tahun berkata, Yayasan MyPrihatin juga berusaha mengubah cara sumbangan menghulur wang tunai ke dalam tabung fizikal kepada transaksi dalam talian.

“Ini bagi mengelakkan penipuan kerana kaedah sedemikian boleh menimbulkan curiga sama ada ia sampai kepada golongan yang ingin dibantu,” katanya.

Beliau berkata, seiring dengan gajet pintar membolehkan Yayasan MyPrihatin membangunkan aplikasi dana awam bertemakan kebajikan.

Jelasnya, aplikasi dinamakan MyDana itu membolehkan pengguna melihat dan menyenaraikan kempen anjuran yayasan yang sedang aktif.

Antara ciri lain, katanya, pengguna boleh menyalurkan sumbangan secara terus, menyemak transaksi sumbangan diberi sebelum ini sebagai rujukan dan penyata.

Malah, ujar beliau, aplikasi itu tidak terhad kepada menghidupkan kempen kesihatan program MyPrihatin saja berikutan turut digunakan untuk kempen lain seperti projek komuniti dan pendidikan atau acara lain mengikut keperluan.

“Tidak ramai orang kita mahu mencuba saluran kutipan derma menerusi dana awam secara dalam talian apabila aliran penggunaannya masih rendah di samping kurang cekap.

“Ini mungkin disebabkan budaya duit masuk tabung yang diamalkan sejak sekian lama, sedangkan di luar negara ia cara terbaik memastikan bantuan sampai terus kepada penerima.

“Perkara lain yang menarik perhatian saya kurangnya minat anak muda terhadap sains dan teknologi.

“Ini membimbangkan berikutan negara ketika ini ketandusan bakat dalam bidang berkenaan.

“Melihat kepada keputusan PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dianggarkan kurang 10 peratus yang meminati bidang ini dan ini sesuatu yang kritikal,” katanya.

DETIK menerima anugerah iktiraf hasil kerja. FOTO Hafiz Sohaimi
DETIK menerima anugerah iktiraf hasil kerja. FOTO Hafiz Sohaimi

Cari pewaris ilmu sains dan teknologi

Dr Halimaton berkata, masa depan negara bergantung pada masyarakat dan isunya ketika ini bagaimana mahu meningkatkan bilangan anak muda dalam bidang sains dan teknologi.

Katanya, biarpun memahami bidang itu bukan mudah, namun beliau berpegang kepada pepatah ‘kalau mahu melentur buluh, biarlah daripada rebungnya’.

“Usaha mencambah minat anak muda dalam bidang ini perlu sejak mereka kecil.

“Oleh itu, kanak-kanak wajar diberikan perhatian bermula sekarang kerana dalam tempoh 10 hingga 20 tahun lagi mereka bakal bekerja.

“Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan memberikan sokongan sewajarnya dan jangan beri alasan tidak ada duit sehingga membunuh minat anak-anak dalam bidang ini.

Menerusi program Prihatin Ilmu, katanya, yayasan kini menumpukan pendidikan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan terutama golongan B40 dan anak yatim.

“Pihak yayasan yakin jika pelajar itu diberi peluang dan didedahkan kepada amalan pembelajaran berkualiti termasuk dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) mereka pasti berjaya.

“Selain itu, pihak yayasan juga meyakini nilai kreativiti, inovatif praktis dan sifat intuisi yang ada pada pelajar berkenaan perlu dihargai kerana ia aset penting dalam pendidikan berteraskan STEM,” katanya.

Sebagai felo di Akademi Sains Malaysia, kepakaran Dr Halimaton sering ditagih bagi menyalurkan khidmat nasihat dan pandangan kepada pihak berkaitan terutama dalam hal membantu pelajar meminati sains dan teknologi.

Setiap tahun beliau terbabit dalam program yang mempromosikan ilmu di sekolah-sekolah.

Beliau juga felo di Institut Kimia Malaysia dan Persatuan Sains Malaysia, selain pernah menganggotai Majlis Penyelidikan Sains Kebangsaan, Persatuan Golden Key dan Asia Nano Forum, beliau memainkan peranan penting dalam pembentukan inisiatif nanoteknologi dan kecemerlangan dalam program sains.

Kini beliau memimpin Persatuan Nanoteknologi Malaysia dan ahli Lembaga Pengerusi Pentadbir di Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi Antarabangsa untuk Kerjasama Negara Selatan di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

BERSAMA anugerah dan pencapaian diterima. FOTO Hafiz Sohaimi
BERSAMA anugerah dan pencapaian diterima. FOTO Hafiz Sohaimi

Pada 2010, beliau pernah dipinjamkan ke Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi mengetuai Direktorat Nanoteknologi Kebangsaan, selain menjadi Naib Canselor pertama di Universiti Sains Komputer dan Kejuruteraan Malaysia di Cyberjaya.

Imbas kejayaan lalu, Dr Halimaton merintis penyelidikan zeolites dan nano bahan di negara ini pada 1990.

Sehingga kini beliau sudah mengetuai 25 program penyelidikan dan 80 projek. Ciptaannya iaitu silika aerogel diperbuat daripada sekam padi yang dinamakan Maerogel adalah bahan paling ringan dan penebat terbaik setakat ini.

Bidang penyelidikan beliau membabitkan zeolite dan bahan nanostruktur, manakala kepakarannya adalah kimia bahan pepejal dan pemangkin. Zeolite adalah bahan pepejal aluminosilikat yang wujud secara semula jadi dan sebagai bahan sintetik yang juga pemangkin terbaik masa kini.

Nanostruktur ialah bahan yang mempunyai sifat dan struktur dalam skala nano (1-100nm) termasuk nanotiub karbon aerogel dan bahan mesoliang. Bidang nano pula dijangka mengambil alih bidang penyelidikan abad ke-21.

Antara penyelidikan beliau ketika ini termasuk sintesis dan rekaan hibrid generasi baharu, sistem penyampaian ubatan, material berstruktur nano, aerogel serat nano dan rantaian silika nano sfera berfungsi.

Hasil penyelidikan saintifik beliau sudah banyak menerima pengiktirafan pada peringkat tempatan dan antarabangsa.

Antaranya, Anugerah Pencipta Petronas 1993, Anugerah Pencipta Antarabangsa Seoul 2002, Anugerah Hak Cipta Intelektual Kebangsaan 2006, Piala IFIA Pencipta Wanita 2008 dan Anugerah Merdeka 2009.

Menyingkap sedikit latar belakang keluarganya, Dr Halimaton anak sulung daripada enam beradik.

Beliau dibesarkan dengan disiplin amat ketat berikutan bapanya adalah pegawai polis.

“Bapa amat menekankan mengenai pengurusan masa dan ini mendidik saya supaya menepati masa sehingga terbawa-bawa sehingga kini.

“Malah, anak-anak juga kena bangun awal dan bantu ibu yang juga suri rumah dengan kerja-kerja di rumah.

“Pembahagian kerja rumah antara adik-beradik dan pengurusan masa yang betul membuatkan keluarga kami tidak pernah mendapatkan khidmat pembantu rumah berikutan semuanya dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

KENANGAN bersama keluarga tercinta. FOTO Hafiz Sohaimi
KENANGAN bersama keluarga tercinta. FOTO Hafiz Sohaimi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 7:01 AM