Sindiket penipuan pelaburan menggunakan logo dan nama Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyakinkan orang ramai melabur.
Sindiket penipuan pelaburan menggunakan logo dan nama Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyakinkan orang ramai melabur.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Guna logo Bank Negara Malaysia (BNM) dipercayai untuk mengaburi mata pelabur kononnya pelaburan itu dipromosikan bagi menipu orang ramai dengan menjanjikan pulangan modal selepas tiga jam.

Malah menjual nama BNM, sindiket penipuan pelaburan ini akan meyakinkan pelabur dengan modal serendah RM500 boleh mendapat pulangan pelaburan mencecah RM17,000 dalam tempoh tiga jam ke enam jam selepas melabur.

Sindiket terbabit dikesan menggunakan media sosial Telegram untuk mempromosikan pelaburan terbabit di mana sekurang-kurangnya empat akaun di aplikasi berkenaan menggunakan nama BNM Investment dengan jumlah keahlian sekitar 100 lebih bagi setiap akaun.

Bagi meyakinkan orang untuk melabur, sindiket terbabit turut menunjukkan resit bank yang tertera wang pelaburan berjaya.

Mengakui kewujudan taktik baharu ini, BNM dalam kenyataan di laman sosial berkata, pihaknya menyedari perkara itu dan menafikan terbabit dalam sebarang promosi berbentuk pelaburan.

"BNM menyedari kewujudan pelaburan menyalahgunakan logo BNM untuk memperdaya mangsa yang baru diwujudkan oleh scammer.

"BNM tidak mempromosikan apa-apa skim pelaburan dan orang ramai dinasihatkan berhati-hati di mana sebarang maklumat atau ingin membuat laporan boleh hubungi BNMLINK," kata kenyataan itu.

Menurutnya, pihaknya juga sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 11:29 AM