AG dan Haiza sama-sama main peranan.
AG dan Haiza sama-sama main peranan.
Sudirman Mohd Tahir


Genap sebulan ke udara sebagai penyampai radio Kool FM bersama penyanyi Haiza, ramai beranggapan AG yang lebih dominan dalam program pagi di stesen radio itu.

Malah, timbul cakap-cakap mengatakan AG atau nama sebenarnya Muhammad Azmir Selamat, 36, menjadikan kelebihan dimiliki sebagai peluang untuknya mendominasi segmen itu berbanding Haiza.

“Kalau ada yang berpandangan sedemikian, itu adalah proses awal untuk kami menyesuaikan diri masing-masing. Siapa lebih dominan atau sebaliknya, terpulang kepada diri sendiri.

“Cuma dalam perkara ini, saya dan Haiza sama-sama memainkan peranan. Kami cuba seimbangkan apa yang nak disampaikan setiap kali ke udara. Paling penting perlu bijak mengawal situasi,” katanya.

Menurut AG yang juga pengacara program Melodi, dia serasi dengan Haiza sejak mula bekerjasama.

“Kami cepat serasi dan tidak susah nak mengikut rentak masing-masing. Cuma, buat masa sekarang ia masih perlu diasah lagi.

“Apa yang saya boleh katakan, Haiza seorang ‘happy go lucky’. Dia tidak terasa hati apabila setiap kali saya berlawak atau mengusiknya. Pendek kata, Haiza cepat belajar,” katanya.

Berbekalkan pengalaman selama 16 tahun sebagai penyampai radio, AG tidak pernah memandang rendah kepada pasangannya dalam mana-mana segmen.

AG berkata, bukan perkara baru untuknya apabila dia perlu bekerja dengan orang baru.

“Saya tidak kisah pasangan itu orang baru atau lama. Apa yang penting kami sudah saling mengenali. Sebab itu, saya terlebih dahulu membuat kajian mengenai siapa pasangan saya.

“Dengan Haiza, kami sentiasa berhati-hati setiap kali nak berlawak terutama membabitkan status. Tugas sebagai penyampai radio pun ada batasan yang perlu dijaga,” katanya.

Menurut AG, sudah menjadi kebiasaannya apabila ke udara dia tidak mahu terlalu terikat dengan gelaran penyampai radio.

Sebaliknya, AG yang juga bekas pengacara program Muzik Muzik bersikap lebih santai dan bersahaja seolah-olah berborak dengan pendengar.

Masih setia

Jika bekas rakan penyampainya, Faizal Ismail dan Fara Fauzana sudah meninggalkan dunia penyiaran radio, AG pula masih setia dengan bidang cari makannya itu.

“Setiap orang berbeza pengalaman dan pilihan. Menjadi penyampai radio adalah minat saya sejak dulu. Tiada sebab untuk saya meninggalkan bidang ini semata-mata nak mengintai peluang lain.

“Lagipun, sepanjang menjadi penyampai radio saya turut mencuba bidang lain seperti pengacaraan dan lakonan. Jadi, ia tidak membataskan kreativiti saya.

“Saya ada cara dan jalan sendiri. Buat apa saya nak ikut orang lain sedangkan apa yang dilakukan sekarang masih mendatangkan sumber rezeki,” katanya.

Selain itu, AG turut aktif sebagai penceramah, menjalankan aktiviti amal dan membantu perniagaan butik isterinya.

Menyentuh mengenai sisi peribadinya, AG menyatakan keinginan untuk memiliki cahaya mata perempuan selepas empat anaknya lelaki.

“Bohong kalau saya kata tak teringin anak perempuan, tetapi ini semua rezeki. Kalau Allah belum izinkan, saya reda.

“Saya juga tidak kisah sekiranya memiliki 12 anak lelaki. Ini kerana anak adalah rezeki yang tidak ternilai,” katanya.

AG dan isterinya Emelda Amir dikurniakan empat anak lelaki iaitu Muhammad Aeril Aqmar, 11, Muhammad Arraz Ammar, 9, Muhammad Aqriz Anmar dan Muhammad Affan Afmar yang kini berusia setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 8:53 AM