Pempengaruh, Puteri Zarith.
Pempengaruh, Puteri Zarith.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Usahawan dan pempengaruh popular, Puteri Zarith mengaku masih bergelar isteri kepada Dr Munzir Shkori walaupun sudah memfailkan perceraian sejak Mei lalu.

Puteri berkata, buat masa ini dia tidak dapat berkongsi punca proses perceraian mereka belum selesai dan mengambil waktu yang panjang.

"Kami sudah hampir tujuh bulan tidak tinggal sebumbung. Namun, saya masih bergelar isterinya kerana proses perceraian masih dalam perbicaraan di mahkamah.

"Saya juga tak boleh nak komen lebih lanjut mengenai sebab proses ini masih belum selesai. Apapun doakan yang terbaik untuk saya dan anak-anak kerana apa yang lebih penting sekarang ini adalah emosi mereka.

"Tidak dinafikan anak-anak paling terkesan dengan apa yang berlaku. Mereka juga sangat bijak dan kalau saya cakap lebih nanti saya bimbang mereka akan dapat tahu.

"Saya tak kisah apa netizen nak cakap fasal keretakan rumah tangga saya walaupun macam-macam spekulasi muncul. Saya terima apa saja komen dengan hati terbuka asalkan anak-anak bersama saya selamanya," katanya.

Menurut Puteri, dia reda dengan setiap ujian dan dugaan yang hadir kerana percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

"Tidak dinafikan apabila masalah ini datang, ia hadir secara tiba-tiba dan di luar jangkaan saya. Tapi saya ambil ujian ini sebagai cabaran untuk teruskan hidup.

"Selama saya hidup selama 39 tahun ini saya boleh katakan saya tidak pernah berdepan masalah yang besar. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar sehinggalah saya terdetik dalam hati ketika menunaikan umrah tahun lalu.

"Saya masih ingat lagi waktu itu saya berada di Masjid Nabawi dan terlintas dalam hati adakah Tuhan tidak menyayangi saya sebab selama ini saya selalu dengar Allah hadirkan ujian kepada hamba-Nya sebab Dia masih sayang.

"Tapi sebaliknya berlaku kepada saya sehinggalah saya balik ke Malaysia. Tak sangka ujian datang bertimpa-timpa. Walaupun dalam tangisan, saya tahu Allah masih sayangkan saya dan menerima apa yang berlaku ini dengan berlapang dada,"katanya.

Terdahulu, Puteri mengesahkan sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya, Dr Munzir Shkori pada Mei lalu.

Puteri dan Dr Munzir mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2009 dan dikurniakan dua anak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 5:10 PM