Gayatri (kanan) bersama Zul dan dua kakak pelakon itu. Foto dari Instagram @gayapillai
Gayatri (kanan) bersama Zul dan dua kakak pelakon itu. Foto dari Instagram @gayapillai
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Ada calon lain ke?".

Kata penerbit, Gayatri Su-Lin Pillai berseloroh ketika diminta mengulas mengenai kenyataan pelakon, Zul Ariffin yang memohon doa agar dipermudahkan urusan dan dijauhkan fitnah sekiranya akan ada perkahwinan. 

Gayatri, 49, adalah wanita yang disebut-sebut sebagai kekasih kepada pelakon itu sejak bertahun-tahun lalu dan pada Aidilfitri baru-baru ini, namanya kembali disorot apabila sekali lagi meraikannya dengan keluarga Zul. 

"Saya rasa dari dulu lagi, setiap kali Aidilfitri saya akan muat naik satu gambar. Saya memang seperti biasa beraya di rumah Hanim Ariffin (kakak Zul). Saya pun tak tahu kenapa (orang beri perhatian kepada sambutan Aidilfitri tahun ini). Tiba-tiba, walaupun setiap tahun saya akan muat naik. 

"Tapi, kita doakan yang baik saja," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Gayatri, dia sering menerima pelbagai komen negatif yang menyentuh mengenai status kekayaan dan usia, namun setiap komen itu baginya adalah doa. 

"Kemudian, saya pun selalu kena kutuk kan. Dalam komen-komen itu, akan ada yang kata saya kaya, tapi itu satu doa. Jadi, kita aminkan saja. 

"(Komen) tua pun, Tuhan bagi kita umur yang panjang. Kita aminkan juga dan gembira saja. Jadi, saya okay saja bila kena kutuk ke, kena bahan ke atau apa-apa tanpa sebarang sebab. 

"Tapi, tahun ini kenapa tiba-tiba dan saya pula sangat sibuk sebab tengah buat ini (drama Restu), kita nak terbitkan filem. Jadi, tiba-tiba benda itu datang dengan cara yang mendadak dan saya pun tak pasti kenapa?," katanya. 

Menurut Gayatri, dia juga tidak pernah berasa rimas dengan komen netizen terhadap dirinya dan juga apabila sering dikaitkan dengan Zul sebagai pasangan kekasih. 

"Saya tak rimas pun. Okay saja. Seperti mana yang kalian kenal diri saya, memang saya bukanlah seorang yang sangat cepat melenting atau meroyan. Saya sejujurnya terhibur. 

"Kali ini saya tak dapat baca banyak (komen). Jadi, saya baca satu portal ini dan dari situ saya baca jugalah komen dan saya boleh ketawa. 

"Sebahagian daripadanya memang sangat teruk, ada yang bagus serta yang baik juga. Jadi, saya rasa ini benda yang kita kena terima sebab zaman media sosial, netizen ada hak untuk bersuara," katanya. 

Ditanya mengenai keakraban hubungannya dengan arwah ibu Zul iaitu Allahyarham Robiah Nasir, Gayatri menggambarkan hubungan itu sebagai ibu tempat di mana dia menumpang kasih. 

"Sejujurnya, saya dengan arwah ibu Zul sangat rapat. Saya sangat sayangkannya sebab ketika bapa saya meninggal, ibu saya dah alami strok terlebih dulu. Tapi, saya tak ramai keluarga di sini dan seorang diri. 

"Kadangkala, kita nak ada kewujudan seorang ibu di sisi kita. Bukan bermakna kita nak kongsi apa pun, tapi ada kewujudan ibu yang jaga kita. Jadi, saya rasa ibu Zul seorang yang sangat penyayang. 

"Dia (arwah ibu Zul) beri saya rasa kasih sayang seorang ibu. Dia sosok ibu yang saya sangat rindui. 

Sebagai wanita, kita perlukan sosok seorang ibu. Saya anak manja, jadi apabila bapa saya meninggal dunia, dunia saya menjadi 'gelap'. 

"Saya ambil masa beberapa tahun untuk menerima pemergian bapa saya, dan arwah ibu Zul adalah tempat saya menumpang kasih sayang," katanya. 

Terdahulu, Gayatri ditemui pada sidang media dan tayangan episod pertama drama iQiyi Original, Restu terbitan syarikatnya, Infinitus Entertainment Malaysia Sdn Bhd yang ditayangkan di platform penstriman digital itu. 

Drama arahan pengarah Heykal Hanifah ini dibintangi oleh Remy Ishak, Wanna Ali, Siti Elizad, Elizabeth Tan dan ramai lagi. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 4:23 PM