MAKIN aktif sebagai penceramah motivasi.
MAKIN aktif sebagai penceramah motivasi.

SELEPAS program motivasi seminar pembangunan diri, Firetalk By Nourul yang diadakan tahun lalu mendapat reaksi positif, penyanyi, Nourul Depp tampil dengan program kedua, Firetalk 2024 yang berlangsung 2 Jun depan.

Nourul berkata, atas permintaan ramai, dia akan kembali dengan pengisian program yang lebih fokus kepada pembinaan potensi dan bakat diri.

"Kami juga akan menyuntik motivasi menerusi cara mengatasi pelbagai cabaran hidup semasa, kesan akibat trauma dan isu yang berkaitan kesihatan mental," katanya.

Nourul berkata, pihaknya amat komited meneruskan misi ini untuk membantu sesiapa saja supaya mereka dapat menjalani kehidupan lebih baik melalui pembangunan peribadi.

"Kami berharap program ini dapat mencapai lebih ramai peserta. Mereka dapat mempelajari beberapa teknik yang membantu mereka membuat keputusan lebih baik dan membuat perubahan lebih bermakna dalam pelbagai aspek kehidupan," kata ibu empat anak ini.

Nourul yang kini menetap di Bali, Indonesia bersama keluarga berkata, sudah lama dia melihat ramai orang bergelut dengan kesukaran dalam menjaga sikap positif dalam kehidupan harian mereka.

Dia juga percaya kesihatan mental adalah permulaan untuk segala aspek dalam kehidupan. Mengambil inspirasi daripada jurulatih kehidupan terkenal Tony Robbins, Nourul memulakan perjalanan yang baharu untuk menjalani latihan sebagai jurulatih kehidupan (life coach) di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Program pertama yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur tahun lalu menarik 100 peserta pelbagai bangsa dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Menurut Nourul, ramai dalam kalangan peserta itu berjaya melalui satu transformasi dan peningkatan diri yang hebat dan positif.

Nourul berkata, program yang diasaskannya itu memberi ruang dan peluang peserta menyelami potensi diri, bakat, mengubah nilai diri, transformasi kendiri dan pembangunan peribadi yang positif.

Menurut Nourul, untuk program pada 2 Jun depan, dia teruja untuk bertemu peserta dalam skala lebih besar.

"Ini bukan program sekali saja, tetapi menjadi satu acara tahunan dengan perisian silibus yang komprehensif dalam memberi tumpuan kepada pembangunan peribadi.

"Bukan itu saja, saya juga akan meraikan peserta dengan persembahan nyanyian selama 45 minit di akhir program ini. Pengisian sebegini belum pernah lagi diadakan dalam mana-mana program sedemikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 6:20 AM