Nadhir Nasa
Nadhir Nasa
Zaara Talita

 

Kuala Lumpur : Pelakon Nadhir Nasa berkongsi nostalgia beraya bersama keluarga dengan meneruskan tradisi membakar lemang sebagai juadah wajib meraikan Aidilfitri.

Kongsi Nadhir, saban tahun keluarganya membakar lemang bagi menyambut hari raya dan belum pernah gagal meneruskan tradisi itu.

"Rutin beraya saya sama saja seperti tahun lalu iaitu membakar lemang yang dibuat sendiri. Memang dari mencari buluh dan sebagainya, dibuat sendiri untuk meraikan Aidilfitri.

"Memang setakat ini, kami membuat dan membakar lemang sendiri untuk hari raya. Belum pernah beli lagi, kalau beli pun ketika bulan ramadan saja.

"Malam raya saat yang paling dinantikan oleh saya dan sepupu kerana hendak main meriam buluh. Memang tempat di Talang, Perak merupakan lokasi wajib kami." katanya.

Tambah pelakon yang kini berjinak-jinak dalam dunia pengarahan itu, suasana perayaan buatnya tidak ubah seperti mengadakan kenduri kahwin dan Nadhir gembira menerima kunjungan sesiapa sahaja setiap tahun.

Walaupun terkejut pada awalnya, bintang Projek High Council itu rasa terharu dengan sokongan yang diterima, terutama daripada orang kampung.

"Suasananya tidak ubah seperti kenduri. Bagi saya apa yang penting adalah keikhlasan untuk menyambut tetamu yang datang," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 12:11 PM