Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Berbaki kurang seminggu, peniaga lemang Kampung Lepan Jenut, Manek Urai, di sini,

kini sibuk membuat persiapan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang melalui Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang.

Lokasi berkenaan yang dikenali sebagai 'Kampung Lemang' bertukar meriah apabila ramai perantau pulang ke Kelantan singgah membeli lemang di sepanjang gerai tepi jalan yang menjadi hidangan wajib setiap kali Aidilfitri.

Bagi peniaga lemang, Sariwati Yaacob, 46, pada hari biasa lemang yang terjual di gerainya adalah sekitar 22 batang sehari, namun kebiasaannya tiga hari menjelang Syawal dia sudah tidak menang tangan untuk membakar lemang kerana mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

"Pada hari biasa, sebanyak lima hingga 10 kilogram (kg) beras pulut yang digunakan untuk memproses lemang, namun beberapa hari sebelum Aidilfitri, saya perlu menggunakan sehingga 60kg beras pulut dan 50kg santan kerana permintaan meningkat daripada perantau dari seluruh destinasi.

"Lemang di Kampung Lepan Jenut amat dikenali ramai bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Kelantan, malah ada juga dari luar.

"Sempena Aidilfitri ini, saya menyediakan di antara 3,000 hingga 4,000 batang lemang dalam tempoh dua hari bagi memenuhi permintaan pelanggan kerana pada ketika itu perantau sudah mula balik ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri," katanya ketika ditemui di Kampung Lepan Jenut.

Ibu kepada enam anak berusia di antara 9 hingga 24 tahun ini berkata, sejak minggu lalu dia sudah mula membuat persiapan dengan membeli buluh lemang pada harga 50 sen satu.

Menurutnya, dia sudah berniaga lemang sejak 23 tahun lalu dengan harga RM5 satu atau RM20 bagi tiga lemang bergantung kepada saiz.

"Pada masa sama ada juga pelanggan yang membuat tempahan melalui telefon dan ia akan dihantar terus ke rumah mereka pada pagi hari raya pertama," katanya yang turut dibantu oleh dua anak.

Sementara itu, seorang lagi peniaga lemang, Fatimah Yaakob, 54, berkata, pada hari biasa dia mampu menjual sehingga 70 batang lemang sehari, dan permintaan akan meningkat apabila cuti persekolahan dan juga Aidilfitri.

"Permintaan yang tinggi setiap kali Aidilfitri menyebabkan saya tidak menang tangan untuk memproses serta membakar lemang menyebabkan perlu mengupah beberapa pekerja.

"Kebiasaannya dua hari sebelum Aidilfitri, saya akan bangun seawal jam 3 pagi untuk memproses dan membakar kira-kira 3,000 batang lemang yang kesemuanya siap dibakar pada pagi hari raya pertama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 8:37 AM
SARIWATI sedang membakar lemang di gerainya di Kampung Lepan Jenut, Manek Urai. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
SARIWATI sedang membakar lemang di gerainya di Kampung Lepan Jenut, Manek Urai. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI