Cat Farish
Cat Farish
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi Cat Farish memohon orang ramai agar tidak terpedaya apabila menerima mesej di Telegram untuk meminjam wang.

Cat atau pemilik nama penuh, Farish Ramli meluahkan rasa bimbang selepas beberapa individu tertipu dengan 'scammer' yang menyamar bagi mendapatkan wang dengan cara mudah.

"Saya memohon kepada sesiapa yang menerima mesej daripada saya di Telegram untuk tidak meminjamkan wang kerana itu bukan saya. Ada beberapa individu terpedaya kerana ingat saya memerlukan wang.

"Harapnya tidak ada pihak yang tertipu lagi apabila scammer berkenaan terdesak meminjam wang menerusi aplikasi Telegram. Sekiranya anda menerima mesej daripada saya untuk meminjam wang, abaikan saja.

"Saya dengar ramai yang sudah terkena namun tidak sangka saya pula yang menjadi mangsa. Rasa bersalah apabila ramai meminjamkan wang," katanya.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memanggil penyedia perkhidmatan Telegram dalam masa terdekat bagi membincangkan pelbagai isu membabitkan aplikasi itu terutama berkaitan keselamatan pengguna.

Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata walaupun Telegram adalah medium komunikasi yang digunakan ramai termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), bagi menyebarkan maklumat kepada orang ramai, namun kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu berkaitan keselamatan awam.

Beliau melihat perkara itu sebagai sesuatu yang serius dan perlu ditangani segera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 2:40 PM