ANDI menjalani pembedahan tonsil akibat bengkak dan bernanah pada Ramadan tahun lalu.
ANDI menjalani pembedahan tonsil akibat bengkak dan bernanah pada Ramadan tahun lalu.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Ramadan penuh ujian buat penyanyi Andi Bernadee adalah pada tahun lalu. Di kala umat Islam lain merasai nikmat berpuasa, Andi pula terpaksa keluar masuk hospital menjalani pembedahan dan rawatan masalah tonsil.

Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, 32, berkata kenangan itulah paling membekas dalam dirinya setakat ini. Walaupun akur itu dugaan buatnya, namun berharap ia takkan berulang menimpanya.

Menurut penyanyi Satu Peluang itu, kesakitan yang dialaminya memang masih 'terngiang' hingga sekarang. Dia tidak sangka sakit tekak yang menyerangnya akan berakhir ke bilik pembedahan.

"Saya memang pernah berdepan sakit tekak sebelum itu akibat masalah tonsil. Biasanya sakit itu akan hilang juga. Tapi tahun lalu, tak sangka masalah tonsil saya menjadi sangat teruk sehingga terpaksa dibedah.

"Mulanya saya cuma alami demam panas dan sakit tekak sebelum masuk Ramadan. Jadi, saya pergi jumpa doktor juga untuk rawatan kena redakan demam itu. Ini kerana saya masih ada penggambaran perlu dijayakan.

"Bagaimanapun, beberapa hari selepas mula berpuasa, saya sakit tekak lagi selama kira-kira tiga hari. Bila diperiksa, memang tonsil sudah bengkak dan bernanah. Memang penyelesaiannya cuma jalani pembedahan," katanya.

Selepas selesai pembedahan, selama lebih sebulan Andi terpaksa berehat untuk memastikan kesihatan terutama tekaknya kembali pulih. Disebabkan itu jugalah dia terpaksa melupakan niat berpuasa sepanjang tempoh pemulihan itu.

Banyak hal perlu dijaga rapi termasuk pemakanan. Meskipun terbit rasa mengidam juadah menarik Ramadan, dia hanya mampu telan air liur dan fokus kepada apa yang disarankan doktor saja.

"Saya memang tak dapat berpuasa kerana banyak ubat perlu diambil termasuk pil tahan sakit dan antibiotik ketika itu. Selepas pembedahan pun, saya masih perlu keluar masuk hospital dan ditahan dalam wad.

"Nikmat makan saya memang sangat-sangat terhad kerana selama sebulan hanya boleh mengambil makanan sejuk. Bubur pun kena sejuk, selain aiskrim atau yang lain-lain kerana kalau panas boleh jejaskan proses kesembuhan," katanya.

Selepas ditimpa pengalaman itu, Andi menjadi lebih selektif apabila menjayakan aktiviti seni pada Ramadan. Ini kerana dia mahu memastikan kebajikan diri lebih terjaga terutama kesihatan.

Ramadan kali ini, dia memutuskan untuk memfokuskan kepada ibadah puasa, berehat, dan menenangkan dirinya. Dia tidak lagi mengambil tawaran kerja yang lebih berat berbanding seperti sebelum ini.

"Insiden itu berlaku kerana saya jalani penggambaran di bawah cuaca panas terik yang masa agak kurang baik dengan kondisi diri saya. Selain penat, berpanas sebegitu boleh mencetus terhadap kondisi tonsil saya.

"Justeru, saya cuba kosongkan jadual seni terutama kerja yang perlukan tempoh masa lama. Tapi kalau setakat hadir acara-acara, saya okey saja. Namun, untuk tahun ini, memang saya banyak luangkan masa di rumah," katanya.

Berkongsi mengenai keadaan tonsilnya sekarang, Andi berkata dia sudah sihat sepenuhnya dan tidak lagi berdepan masalah itu. Dia bersyukur kerana kesihatannya jauh lebih baik sejak pembedahan berkenaan.

"Alhamdulillah, sudah setahun saya tidak berdepan masalah kesihatan yang teruk termasuk demam.

"Sebaik sembuh selepas pembedahan itu, saya tidak perlu lagi bergantung kepada ubat-ubatan khas untuk tonsil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 7:15 AM