Erma Fatima
Erma Fatima
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pengarah dan pelakon, Erma Fatima mempertahankan tindakan pempengaruh media sosial, Hafiz Mahamad yang dikecam selepas tular video dia bersesak-sesak dan menarik kumpulan jemaah terdiri daripada kakitangannya untuk mencium Hajarul Aswad di Kaabah.

Rakaman video yang diambil oleh kakitangannya turut memperlihatkan beberapa kakitangan wanita termasuk isterinya hampir 'lemas' kerana terpaksa bertolak-tolak antara jemaah lelaki yang turut berebut.

Erma yang pernah berdepan situasi sama berkata, perkongsian yang dimuat naik itu sekadar 'content' (kandungan) semata-mata.

"Inilah hakikatnya yang harus dilalui kalau kita nak mencium Hajarul Aswad. Itu kebenarannya. Tak usaha macam tu memang takkan dapatlah. Saya percaya dia tak berniat untuk buat 'content' kerana saya pun pernah lalui situasi itu.

"Saya sanggup redah semata-mata nak bagi kawan-kawan yang tak pernah dapat cium Hajarul Aswad. Memang bukan sesuatu yang wajib tetapi nikmatnya bila dapat cium itu, siapa saja yang pergi nak rasa. Cuma tahap kesanggupan untuk redah tu bergantung pada diri masing-masing," tulisnya di Instagram.

Menerusi perkongsian yang sama, Erma juga menyatakan bahawa hanya Allah SWT saja yang mengetahui niat sebenar Hafiz dan menganggap tindakannya itu sebagai satu perjuangan.

"Allah tahu niat dia untuk bagi semua sahabatnya merasa nikmat itu. Mungkin hanya orang yang pernah berada di situ akan faham kenapa dan mengapa.

"Walaupun dia seorang pempengaruh media sosial, saat itu dia lakukan bukan kerana dia 'influencer' tapi satu perjuangan. Saya juga pernah buat tu dan saya panggil perjuangan itu gerak gempur.

"Tidak mengapa Hafiz, anda berjaya memberi sahabat-sahabatmu menikmati rasa dan detik itu," tulisnya.

Rata-rata netizen tidak bersetuju dengan Erma, malah meminta pengarah itu menghadam penjelasan daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, baru-baru ini.

Dr Zulkifli menasihatkan jemaah haji atau umrah supaya tidak berebut-rebut untuk merakam video dan gambar mencium Hajarul Aswad jika hanya sekadar trend untuk meraih tontonan ramai.

Katanya, ibadah suci dan mulia itu agak janggal apabila dirosakkan dengan cara sedemikian yang disifatkan tidak kena pada masanya.

"Jika ia hanya sekadar trend untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah trend yang merugikan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 3:46 PM