HAFIZ membuat penjelasan menerusi Instagram (kiri) selepas video awalnya mengundang kecaman netizen.
HAFIZ membuat penjelasan menerusi Instagram (kiri) selepas video awalnya mengundang kecaman netizen.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Saya minta maaf jika melukakan mana-mana pihak, niat saya berkongsi kerana pada saya itu adalah manfaat, bukan untuk riak atau takbur,"

Demikian penjelasan pempengaruh media sosial, Hafiz Mahamad menerusi hantaran video di akaun Instagram (IG) miliknya hari ini.

Hafiz tampil membuat penjelasan itu susulan perkongsian video dimuat naiknya di akaun IG miliknya semalam mendapat kecaman netizen kerana menunjukkannya bersesak-sesak dan menarik kumpulan jemaah terdiri kakitangannya untuk mencium Hajar Aswad.

Menurut Hafiz, video dimuat naiknya itu bukan 'content' yang dibuat untuk mencari perhatian hingga ibadahnya terabai.

"Benda itu (cium Hajar Aswad) dibuat selepas kita tawaf sunat, selepas buat umrah, selepas kita solat Duha, solat di Hijir Ismail, yang wajib semua kita selesaikan baru kita pergi ke perkara sunat.

"Ia (video) dirakam pasukan saya atas dasar kenangan, semuanya pasukan yang ambil.

"Saya hanya fokus jaga keselamatan pasukan yang saya bawa dan Alhamdulillah, tiada apa memudaratkan diri pasukan saya keluar dengan selamat cuma saya sakit pinggang sikit sebab kena tahan orang.

"Kalau tak tahan, tak sekat, tak lindung habislah pasukan perempuan saya lemas," katanya.

Menurut Hafiz, selama tujuh tahun berpeluang ke Tanah Suci, dia tidak pernah berkongsi video seperti semalam.

Bagaimanapun, dia terbuka hati berkongsi video itu dengan harapan mereka yang menonton dapat membuat persediaan sebelum datang ke Tanah Suci.

"Saya kongsi nak jadikan kenangan dan wujudkan keberanian kepada sahabat saya untuk datang ke sini (Tanah Suci).

"Maksudnya bila kongsi mereka dapat lihat bagaimana sebenarnya (gambaran) bumi Allah, ada cabaran beribadah dan bersedia daripada sekarang supaya tak takut apabila sampai.

"Pasukan saya bukan orang senang, ramai orang susah untuk sampai ke sini jadi bila ada rezeki datang saya minta mereka cuba usahakan pergi cuba solat dalam Hijir Ismail, cium Hajar Aswad dan solat depan Kaabah walaupun dalam keadaan sukar kerana tak nak pergi tapi balik ralat.

"Saya tolong pun (cium Hajar Aswad) pun bukan nak jadi hero tapi dengan harapan boleh dicontohi pasukan saya dan waktu awal kongsi dapat maklum balas positif," katanya.

Bagaimanapun, Hafiz mengambil keputusan memadam video berkenaan selepas melihat perkongsiannya mencetuskan banyak perbalahan.

"Saya ambil keputusan padam kerana nak jaga keharmonian di laman sosial saya.

"Saya tak nak ulas panjang kerana saya hamba Allah yang lemah.

"Janganlah bergaduh, saya doakan awak semua sampai ke sini dengan keberanian.

"Saya tak marah, saya faham pandangan awak berbeza. Saya faham keadaan itu," katanya.

Terdahulu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri membuat teguran dengan menasihatkan jemaah haji dan umrah untuk tidak berebut-rebut merakam video dan gambar mencium Hajar Aswad sekiranya ia hanya sekadar trend untuk meraih tontonan ramai.

Menerusi hantaran di Facebook (Fb) hari ini, Dr Zulkifli memaklumkan sampai hukum mencium Hajar Aswad adalah haram jika menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain atau membahayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 5:48 PM