Suasana tawaf selepas solat subuh di Masjidil Haram, pagi tadi. FOTO Noor Azam Abd Aziz
Suasana tawaf selepas solat subuh di Masjidil Haram, pagi tadi. FOTO Noor Azam Abd Aziz

Umat Islam dari seluruh dunia melakukan tawaf selepas solat Subuh di Masjidil Haram, pagi tadi.

Tawaf menjadi sah apabila menepati syarat berikut.

Syarat itu kita ringkaskan sebagai berikut:

a. Memenuhi syarat sah solat seperti niat, suci daripada hadas besar dan kecil, suci daripada najis di badan, pakaian dan tempat tawaf serta menutup aurat. Berdasarkan hadis riwayat Tirmidzi dan Daruqutni daripada Nabi SAW sabdanya (mafhumnya): "Tawaf adalah (seperti) solat kecuali Allah Taala menghalalkan bercakap padanya. Sesiapa yang bercakap janganlah dia bercakap kecuali yang baik saja."

b. Tidak memasukkan mana-mana anggota tubuh badan ketika tawaf ke dalam sempadan Kaabah.

Oleh itu, hendaklah tawaf di luar Hijir Ismail (kawasan di sebelah dinding utara Kaabah yang membataskan dengan dinding yang rendah berbentuk separuh bulatan).

Ini kerana Hijir Ismail berada di dalam kawasan Kaabah. Oleh itu, tidak boleh tawaf di dalamnya.

c. Menjadikan Kaabah berada di sebelah kiri sewaktu tawaf yang bermula di Hajarul Aswad. Sekiranya dimulakan sebelum Hajarul Aswad, tawafnya tidak dikira sehinggalah dia sampai di kawasannya.

Ini kerana mengikuti perbuatan Nabi SAW dalam hadis yang sahih.

d. Menyempurnakan tawaf sebanyak tujuh pusingan ataupun tujuh kali tawaf. Dengan itu, sempurnalah rukun tawaf dan semuanya ini dianggap sebagai satu tawaf.

- Sumber: Kitab Fiqah Mazhab Syafie

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 4:37 PM