ONEREPUBLIC gembira dapat kembali ke Malaysia.
ONEREPUBLIC gembira dapat kembali ke Malaysia.
Georgie Joseph

[email protected].

Berkunjung kali kedua ke sini, band pop rock Amerika Syarikat (AS), OneRepublic sempat mengabadikan kenangan di Malaysia dalam video muzik lagu baru mereka akan datang.

Perkara itu dikongsikan vokalisnya, Ryan Tedder yang menyifatkan Kuala Lumpur antara bandar raya terbaik di dunia yang pernah mereka singgah.

Jadi, mereka tidak mahu melepaskan peluang memasukkan sedutan beberapa pemandangan cantik di negara ini.

“Sebaik tiba di sini, kami sedar betapa indahnya pemandangan di Kuala Lumpur. Dari situlah kami memutuskan untuk memasukkannya dalam video muzik akan datang.

“Kami bakal kembali dengan muzik baru selepas tamat dengan siri jelajah di Asia Tenggara. Jadi, anda jangan lepaskan peluang untuk melihat sendiri bandar raya anda dalam mana-mana video kami nanti,” katanya.

Menjayakan konsert OneRepublic Live in Malaysia 2018, band yang turut dianggotai Zach Filkins (gitar), Drew Brown (gitar), Eddie Fisher (dram) dan Brent Kutzle (bass) itu nyata dinantikan peminat selepas kali terakhir mengadakan konsert di sini pada 2013.

Buktinya, lebih 10,000 hadir untuk menyaksikan sendiri persembahan mereka pada konsert anjuran WGW Entertainment di Stadium Merdeka, kelmarin.

Bermula tepat jam 8.40 malam, kehangatan pada malam itu cukup dirasai apatah lagi mereka mendendangkan hampir semua lagu hit mereka.

Boleh dikatakan setiap lagu yang dinyanyikan jelas dihafal penonton dan dirangkumkan daripada album lama hinggalah terbaru.

RYAN.
RYAN.

Baru tiba dari Singapura dan terdahulu membuat persembahan di beberapa lokasi, vokal Ryan agak goyah pada awalnya.

Dia kelihatan penat dan tenaganya tidak berapa sampai pada beberapa lagu awal.

Bagaimanapun, atmosfera konsert serta-merta bertukar sebaik dia mendapat rentak ditambah pula dengan sorakan peminat yang terus dahagakan persembahan mereka.

Paling mengujakan sewaktu Ryan turun dari pentas dan mendekati peminat di bawah dengan mengelilingi beberapa zon bersalaman dengan peminat.

Ketika itu, kegilaan penonton memang memuncak dan penonton yang duduk serta-merta berdiri mengejarnya.

Apa yang pasti, OneRepublic sememangnya cukup terperinci dalam mengawal kualiti permainan muzik di pentas.

Tiada gimik dan sekadar menggunakan penataan cahaya laser untuk menjadikan pentas menarik, ia nyata tidak dapat menenggelamkan corak persembahan mereka yang mengagumkan.

Ryan pula sememangnya bijak menggunakan kemahiran komunikasinya untuk menjentik perasaan setiap penonton. Dia tidak henti menyatakan rasa bertuahnya terhadap sokongan peminat Malaysia.

“Saya tidak rasa bosan dan sentiasa mahu kembali semula ke sini. Apabila muzik baru kami siap nanti, kami akan mencari peluang untuk kembali lagi ke kota indah ini,” katanya.

Pada malam itu, OneRepublic memberikan persembahan pelbagai corak menerusi lagu Stop And Stare, Secrets, Good Life, Wherever I Go, Better, Feel Again, I Lived, All The Right Moves, Born To Race, Something I Need, Apologize, dan If I Lose Myself.

RYAN bijak mengawal pentas.
RYAN bijak mengawal pentas.

Ryan yang juga komposer tersohor dunia turut mengabadikan satu segmen apabila dia menyanyikan lagu ciptaannya termasuk Halo nyanyian asal Beyonce, Happier (Ed Sheeran), dan Wake Me Up (Aviici).

Pada segmen encore, mereka mempersembahkan dua lagu popular berentak rancak iaitu Counting Stars dan Love Runs Out. Saat itu, penonton semua terus bersorak dan menari menikmati persembahan berkenaan.

Konsert ini turut mendapat sokongan Malaysia Major Events (MME), Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 3:12 AM