Uyaina Arshad.
Uyaina Arshad.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur : Pelakon dan pengacara jelita, Uyaina Arshad, 31, menolak desas-desus mengatakan dia sedang hamil anak kedua.

Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad berkata, dia kerap diajukan pertanyaan itu sejak kebelakangan ini.

"Saya sering ditanya soalan sebegini oleh beberapa orang terutama bila ada selebriti lain yang sedang berbadan dua, jadi orang turut bertanya kepada saya.

"Jawapan saya, jika ada berita baik sudah tentu saya akan kongsikan kepada semua. Sama seperti kehamilan pertama dulu.

"Kalau ada berita gembira, saya akan kongsikan tetapi buat masa ini, memang saya tidak hamil, belum lagi," katanya ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen jenama Ariani, Layar Raya 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Uyaina, dia mengaku jadual seninya agak padat sekali gus perlu membuat perancangan yang rapi sekiranya ingin berbadan dua.

"Boleh dikatakan merancang juga. Anak sulung saya baru berusia enam bulan dan jadual seni saya kini boleh dikatakan agak padat walaupun sekarang saya belum menerima tawaran lakonan.

"Saya kini perlu memilih tawaran dan skrip yang dirasakan berbaloi, dari segi masa, tenaga kerana sekarang saya sudah bergelar ibu dan isteri.

"Saya mahukan sesuatu yang berbaloi untuk saya melangkah semula ke set penggambaran dan menghabiskan masa yang lama di sana.

"Saya tak nak buat sesuatu yang hanya dapat penat sahaja, jadi ada baiknya jika saya menerima tawaran yang benar-benar menguji bakat lakonan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 11:23 AM