MADONNA (kiri) dan Vandross. FOTO Agensi
MADONNA (kiri) dan Vandross. FOTO Agensi
Agensi

Kuala Lumpur: Ratu Pop, Madonna, 65, memadam gambar penyanyi, mendiang Luther Vandross dari salah satu segmen dalam persembahannya untuk siri jelajah Celebration Tour yang menjadi segmen memperingati mangsa AIDS. 

Keputusan itu dibuat selepas wakil Vandross terkejut dengan keberadaan gambar penyanyi lagu Here and Now itu sekaligus meminta agar gambarnya dipadam. 

"Luther Vandross meninggal dunia pada 2005 kerana komplikasi akibat serangan angin ahmar dua tahun sebelum itu. 

"Kami menghargai penghormatan yang diberikan Madonna kepada mereka yang meninggal dunia akibat AIDS, tapi, Luther tidak pernah disahkan menghidap AIDS mahupun HIV. 

"Kami tak pasti, dari mana Madonna atau pihak produksinya menerima laporan kesihatan yang tidak sahih itu," kata wakil Vandross kepada media antarabangsa. 

Untuk segmen memperingati mangsa AIDS itu, Madonna mempersembahkan lagu popularnya yang diterbitkan pada 1986, Live to Tell. 

Antara gambar artis lain yang diselitkan untuk mengiringi persembahan itu adalah Keith Haring, Herb Ritts dan Freedie Mercury. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 11:00 AM