Ali Puteh berjaya kumpul RM75,000.
Ali Puteh berjaya kumpul RM75,000.

Kuala Lumpur: Pelawak Ali Puteh, 35, bersyukur dapat mengumpul wang sebanyak RM75,000 bagi menyelesaikan hutang kepada kakak iparnya, Siti Norhidayah Hamzah.

Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berjaya mengumpul sebanyak itu hasil penjualan barangan peribadinya dan produk makanan yang diusahakan.

"Siap! Terima kasih atas doa, terima kasih semua rakyat Malaysia. Semoga Allah membalas segala kebaikan anda. Terima kasih yang membeli barangan saya. Sudah cukup RM75,000," katanya.

Dengan jumlah itu, Ali dipercayai menggunakannya untuk melangsaikan hutang terhadap balu abangnya Allahyarham Abam Bocey itu sebanyak RM75,000.

Perkongsian terbarunya itu turut melegakan ramai pihak termasuk netizen. Mereka mendoakan isu hutang terbabit akan dapat selesaikan kemelut antaranya dengan Siti Norhidayah.

"Bayarlah dan selesailah semua masalah. Semoga dimurahkan rezeki Ali sekeluarga," kata seorang netizen.

"Kami tunggu Ali serahkan duit pada sebelah sana tu," antara komen netizen.

Terdahulu, Ali sanggup menjual kereta, motosikal dan trofi yang dimenangi ketika menyertai program realiti komedi beberapa tahun lalu bagi melangsaikan hutang itu.

Pada 18 Februari 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan Ali dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada Siti Norhidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 4:13 PM