TIARA harap Ngeluwihi diterima di seluruh dunia.
TIARA harap Ngeluwihi diterima di seluruh dunia.

"DALAM bahasa Jawa Ngeluwihi bermaksud melebihi. Walaupun keseluruhan lirik dalam bahasa Inggeris, namun lirik pada permulaan lagu dikekalkan dalam bahasa Jawa, memberikan keunikan pada lagu ini."

Ini kata penyanyi Indonesia, Tiara Andini, 22, mengenai single terbarunya berjudul Ngeluwihi yang mengangkat budaya Jawa.

Ia juga kerjasama keduanya bersama penerbit dari Korea Selatan, Hyuk Shin.

Tiara Andiri atau nama sebenarnya, Tiara Anugrah Eka Setyo Andini menyifatkan Ngeluwihi mempunyai banyak keunikan yang mampu memperkenalkan adat Jawa.

"Saya berasal daripada Jawa, jadi tajuk lagu ini diambil daripada bahasa Jawa yang bermaksud 'melebihi'.

"Tidak hanya itu, mengenakan pakaian tradisional Jawa dalam foto promosi lagu ini akan menambahkan lagi elemen budaya Jawa," katanya.

Tiara berkata, muzik video yang berlatar belakangkan wayang kulit, Gunungan atau Kayon mampu menarik minat penonton.

Gunungan atau Kayon dalam lagu melambangkan perjalanan kehidupan manusia, sesuai dengan konsep lagu yang menggambarkan bagaimana seseorang mampu bangkit menjadi lebih baik selepas menghadapi penghinaan daripada orang lain.

"Muzik video kali ini pasti memukau penonton kerana hampir setiap babak diserikan dengan tarian yang memukau," katanya.

Ngeluwihi juga menggabungkan elemen muzik yang agresif dan dinamik dengan sentuhan hip-hop, rap, R&B, dan pop dalam karya terbaik hasil sentuhan penerbit berkualiti, ditambah dengan vokal yang hebat daripada Tiara.

Tiara berharap muzik video Ngeluwihi yang diterbitkan EUIS Studio Production diarahkan oleh Timo dan diterbitkan Ade Yason ini dapat diterima dan didengari masyarakat tidak hanya di Indonesia malah di seluruh dunia.

"Saya berharap melalui lagu ini, ramai masyarakat dapat mengenali budaya Jawa yang disajikan dalam single terbabit.

"Selain itu, ia juga dapat menjadi sumber motivasi bagi banyak mereka untuk sentiasa menjadi versi yang lebih baik dari diri mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 6:30 AM