TIARA (enam kiri) mengumumkan pementasan Ola Bola The Musical.
TIARA (enam kiri) mengumumkan pementasan Ola Bola The Musical.
TIARA (belakang, lima kiri) mengumumkan pementasan Ola Bola The Musical.
TIARA (belakang, lima kiri) mengumumkan pementasan Ola Bola The Musical.
Roslen Fadzil

FILEM Ola Bola yang mencatat kutipan box-office RM16.5 juta pada 2016 kini diadaptasikan menjadi pementasan Ola Bola The Musical yang bakal dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 22 Februari hingga 22 Mac tahun depan.

Lebih menarik, pementasan itu akan diarahkan oleh pelakon dan produser terkenal, Puan Sri Tiara Jacquelina Eu Abdullah.

Perkara ini diumumkan dalam sidang media di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur, hari ini.

Tiara berkata, pementasan paling lama untuk produksi tempatan di IB itu diterbitkan oleh Enfiniti (M) Sdn Bhd dengan kerjasama Astro Shaw.

"Inilah fasa terbaru yang begitu mencabar dalam kerjaya seni saya. Saya akhirnya terbuka hati untuk mengarah mahu mencabar diri saya dengan sesuatu yang baru dan kebetulan begitu tertarik dengan tema serta jalan cerita filem Ola Bola.

“Karya arahan Chiu Keng Guan itu padat dengan semangat perjuangan serta jati diri khususnya dalam dunia bola sepak negara.

"Saya sudah bersedia untuk mengarah dan buat permulaan biarlah saya mengemudi sebuah pementasan muzikal kerana jiwa saya memang sukakan genre itu (muzikal). Tugas ini sangat-sangat mencabar kerana pementasan muzikal menggabungkan emosi lakonan bersama elemen nyanyian dan muzik," jelas Tiara.

Katanya lagi, Ola Bola menjadi pilihan kerana ia berwajah Malaysia dan sukan sentiasa dekat di hati rakyat.

Untuk merealisasikan impian hebat itu, Tiara akan dibantu ramai tenaga kreatif termasuk pereka set handalan Raja Malek dan pengarah muzik Saiful Ridzuan yang juga anggota kumpulan Seven Collared T-Shirt.

"Antara cabaran terbesar Raja Malek adalah perlu menukarkan Panggung Sari di IB menjadi sebuah stadium bola sepak. Kita mahu penonton benar-benar terasa seperti sedang melihat perlawanan bola sepak di dalam stadium," katanya yang enggan mendedahkan bajet Ola Bola The Musical.

Ditanya mengenai barisan pelakon, Tiara berkata, pihaknya akan mula membuat uji bakat tidak lama lagi untuk mencari mereka yang mampu menyanyi, berlakon dan meminati sukan bola sepak, tidak lama lagi.

"Kita akan suntik lagu-lagu bergenre rap dan hip hop seperti nyanyian Altimet. Banyak lagi pihak akan terbabit dalam produksi ini dan kita akan umumkan dari semasa ke semasa," ujar Tiara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 3:06 PM