Lydia Saiful

Kuala Lumpur: Penyanyi Indonesia, Puteri Ariani,19, bersyukur lagu Who I Am kerjasamanya dengan penyanyi dan penerbit dari Norway, Alan Walker dan Peder Elias mendapat sambutan luar biasa di seluruh dunia.

Putri atau nama sebenarnya Ariani Nisma Putri berkata, lagu yang dilancarkan pada 4 Januari lalu juga mencapai jumlah streaming yang tinggi di platform Spotify.

"Syukur Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan tidak pernah terbayangkan lagu ini akan menjadi tular di seluruh negara.

"Selain Indonesia, ia turut menakluki senarai lagu dalam Spotify di Malaysia, Norway, Thailand, Jepun, Kanada dan banyak lagi.

"Ia juga mencatat lebih satu juta tontonan di YouTube Alan Walker sejak dimuat naik pada 5 Januari lalu. Terima kasih juga atas kepercayaan dan peluang yang diberikan untuk menyanyikan lagu ini," katanya.

Menerusi hantaran di Instagram, Ariani juga menerima banyak pujian daripada pengikutnya yang bangga dengan pencapaiannya yang semakin meningkat.

Terdahulu, Ariani pernah mencetuskan fenomena apabila mendapat 'golden buzzer' dalam program realiti America's Got Talent 2023.

Dalam pertandingan itu juga, Ariani berjaya mendapat 'standing ovation' daripada juri selepas persembahan yang dibuat dan menduduki tempat keempat di peringkat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 4:49 PM