MOHD Rosli bersama Ms Nuriah meratapi bayi lelaki mereka, yang maut akibat jangkitan kuman di paru-paru. FOTO Zaman Huri Isa
MOHD Rosli bersama Ms Nuriah meratapi bayi lelaki mereka, yang maut akibat jangkitan kuman di paru-paru. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Nor Hidayatidayu Razali


BAYI lelaki berusia 19 hari maut akibat jangkitan kuman di paru-paru di Kampung Kubang Bongor Hulu, Melor di Kota Bharu, malam tadi.

Mangsa, Muhammad Al Amin Rafael Mohd Rosli disahkan meninggal dunia pada 10.30 malam.

Ibu mangsa, Ms Nuriah Mansor, 41, berkata, sebelum kejadian, pada 9.30 malam dia memberi susu badan kepada anak bongsu daripada lima beradik itu.

Katanya, selepas memberi susu, dia menepuk bayinya sehingga sendawa sebelum meriba serta meletakkan bayi itu di atas tilam.

“Saya kemudian masuk ke dapur untuk makan nasi, namun tidak sempat makan kerana berasa tidak sedap hati sebelum keluar dan melihat anak dalam keadaan sudah lembik.

“Saya kemudian mengangkatnya sebelum menghubungi jururawat yang datang ke rumah sebelum menghubungi doktor yang mengesahkan anak sudah tiada.

“Keadaan anak masa itu tidak bergerak tetapi mukanya sangat bersih,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurutnya, suaminya, Mohd Rosli Deraman, 52, yang bekerja sebagai tukang rumah membawa anak bongsu mereka ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Katanya, dia reda dengan kejadian itu kerana anaknya itu dilahirkan ketika kandungan berusia 33 minggu dan selepas lahir anaknya berada di wad selama 10 hari sebelum dibenarkan pulang.

Sementara itu, Mohd Rosli berkata, bayinya itu disahkan dijangkiti kuman di paru-paru kemungkinan kerana dilahirkan tidak cukup bulan.

“Walaupun sedih dengan pemergian anak, tetapi kami menerimanya sebagai ujian dan takdir daripada Allah SWT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 3:37 PM