Mohamad Hanafi bersama Nur Amera ketika mengerjakan umrah. FOTO Ihsan FB Mohamad Hanafi Zahari
Mohamad Hanafi bersama Nur Amera ketika mengerjakan umrah. FOTO Ihsan FB Mohamad Hanafi Zahari
Mohamad Hussin


“ALHAMDULILLAH, isteri saya selamat menjalani pembedahan membuang separuh daripada paru-paru sebelah kirinya tengah hari, semalam.

“Dia sudah sedar dan boleh makan bubur selepas 71 hari tidak menjamah makanan,” kata Mohamad Hanafi Zahari, 25, suami kepada Nur Amera Yahaya yang menderita akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Mohamad Hanafi berkata, Nur Amera, 25, selamat menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan ditempatkan di wad biasa untuk pemantauan lanjut.

“Saya berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatan isteri saya. Syukur kepada Allah SWT dengan limpah dan kurnianya.

“Isteri saya sudah boleh duduk cuma tidak boleh bercakap. Insya-Allah, saya berharap kesihatannya kembali pulih,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam Harian Metro melaporkan, Nur Amera dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh selama 68 hari selepas pulang dari menunaikan umrah bersama keluarganya pada 18 April lalu sebelum dirujuk ke HKL akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Nur Amera mengalami demam selepas tiga hari berada di Makkah sewaktu menunaikan umrah.

Pasangan berkenaan bernikah pada 11 Januari lalu, manakala bersanding pada 23 Mac lalu di Skudai dan Kampung Majidi Bahru, Johor Bahru, tidak sempat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama sejak Nur Amera dimasukkan ke hospital.

Mohamad Hanafi berkata, dia perlu merujuk kepada doktor bagi mengetahui perkembangan sebenar isterinya sebelum membuat keputusan lanjut.

“Saya harap isteri cepat sembuh dan dapat pulang ke Johor Bahru. Saya akan dapatkan nasihat doktor sama ada boleh membawa dia pulang ke rumah atau mendapatkan rawatan susulan di Johor Bahru,” katanya.

Berita berkaitan

'Cepatlah sembuh sayang...'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 8:20 PM