Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Datin Seri Umie Aida, 51, memperoleh pengalaman berharga apabila menjalani penggambaran bersama haiwan luar seperti harimau, cheetah dan helang di Dubai, baru-baru ini.

Umie berkata, walaupun timbul rasa takut diterkam oleh haiwan liar itu ketika menjalani penggambaran untuk promosi jenama minyak wangi, tetapi ia satu pengalaman yang tak boleh dilupakan.

"Kalau kita lihat di media sosial, di Dubai lambang kekayaan mesti akan ada haiwan-haiwan sebegini. Jadi, saya lahirkan hasrat untuk pegang haiwan-haiwan ini bagi menyempurnakan penggambaran promosi itu.

"Tapi, bila dah ada depan mata, tak sangka pula baju yang saya pakai menarik perhatian haiwan-haiwan itu. Jadi, ada satu ketika saya berjalan dan harimau itu pandang saya seperti nak kejar.

"Tuannya maklumkan bahawa baju saya menarik perhatian. Memang saya dah 'kecut' bila dia dah mula pandang. Tapi, ia tetap menjadi pengalaman berharga buat saya," katanya kepada Harian Metro.

Penggambaran iklan promosi jenama minyak wangi membabitkan kerjasama antara Umie dan Datuk Seri Alha Alfa itu berlangsung di Dubai dan menelan kos ratusan ribu ringgit.

Iklan promosi itu juga menggunakan lagu Salam Taj Mahal yang pernah dipopularkan Umie lebih 23 tahun lalu dan menjadi OST drama bersiri dengan judul sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 4:49 PM