ENGGAN ambil hati atas komen netizen.
ENGGAN ambil hati atas komen netizen.
Najiy Jefri


Penyanyi Shiha Zikir mengaku semakin kebal dalam mendepani kritikan atau persepsi negatif orang luar apabila namanya sering bolos ke peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) sehingga berjaya mara ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

Tidak melatah dengan komen jahat netizen yang mempertikaikan keupayaan suara serta lagu nyanyiannya, Shiha bagaimanapun memilih menerima setiap komen diberi dengan hati terbuka.

"Jujurnya saya ada terbaca komen-komen sebegitu di aplikasi X sebab ada yang tunjuk pada saya. Tapi pada tahap sekarang ini saya semakin terbuka dengan komen orang.

"Saya bukan saban tahun sertai AJL, tapi kali pertama saya masuk pun sebab saya ganti Datuk Seri Siti Nurhaliza, dan beberapa lagu saya sebelum ini hanya berjaya di peringkat separuh akhir saja.

"Kali pertama saya berjaya ke pentas AJL adalah menerusi lagu AEWO dan kemudiannya lagu Irama.

"Bukan seperti artis lain yang sudah banyak kali masuk dan menang. Saya tak menang pun, cuma Irama menang Persembahan Terbaik di AJL37. Seterusnya individu itu cakap akaun Instagram (IG) saya megah dengan pengikut tapi 'engagement' kurang. Betul, saya tidak cakap dia salah.

"Cuma bila orang tanya perkara ini, saya tak boleh jawab sebab itu semua di luar kawalan. Saya tak pernah beli 'like'. Konsep saya dari dulu sampai sekarang, saya lebihkan kualiti dari kuantiti, bermaksud kalau saya di pentas, saya akan buat sehabis baik," katanya.

Biarpun dihambat dengan kata-kata negatif netizen, Shiha bagaimanapun tetap bersyukur apabila rezekinya dalam bidang seni sentiasa ada.

"Alhamdulillah rezeki saya sentiasa ada tanpa memerlukan saya buat sesuatu yang bukan diri saya. Saya tidak reka kontroversi untuk menaikkan nama.

"Cuba tengok dari dulu sampai sekarang, saya tidak pernah buat kalau wujud pun saya selesaikan dengan cepat," katanya.

LAGU Kalam taruhan Shiha di AJL38.
LAGU Kalam taruhan Shiha di AJL38.

Dalam masa sama, Shiha berterima kasih kepada mereka yang memilih untuk menyokong semua artis secara positif dan tidak memandang negatif mengenai orang lain.

"Buat netizen, saya harap anda lakukan hantaran yang mampu didik orang berfikiran positif. Sokong semua orang, jangan pertikai kenapa artis itu boleh masuk SFMM seolah-olah tidak percaya pada rezeki.

"Adakah anda rasa lagu yang meletup saja layak masuk SFMM. Saya berterima kasih kepada SFMM sebab mereka pilih lagu yang layak dari peringkat pencalonan. Jadi saya percaya semua lagu masuk adalah lagu yang berkualiti tanpa memandang siapa artis itu.

"Itu yang kita mahukan dalam industri kita, di mana jangan sekali kita memandang benda viral sahaja yang layak. Jadi fikir dulu sebelum komen supaya negara lain boleh tengok peminat industri kita juga sangat menyokong," katanya.

Tambah Shiha, dia sentiasa berlapang dada menerima komen pedas netizen, namun berharap artis lain tidak menerima kritikan sepertinya kerana tidak semua artis mempunyai kekuatan dari segi mental.

"Saya tidak ambil hati. Kalau dulu mungkin ya, tapi sekarang, saya nak kecil hati pun buat apa. Ikut hati rugilah.

"Saya hargai mereka yang undi lagu saya dari zaman lagu AEWO lagi, termasuk lagu Tusuk dan Kalam yang berjaya ke SFMM38.

"Saya harap mereka tak buat pada artis lain sebab tidak semua orang ada mental yang kuat. Kalau orang itu sedih dan tertekan, kasihan.

"Saya pun ada 'anxiety' sebelum ini, itu sebab saya cakap kalau dulu mungkin saya sedih. Cukuplah dulu saya terasa, sekarang cakaplah apa nak cakap, janji saya buat yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Shiha meluahkan rasa syukur apabila lagu Kalam ciptaan komposer muda Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves tersenarai antara 12 lagu yang layak bertanding di pentas AJL38 yang bakal berlangsung di Axiata Arena pada Mac tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 6:30 AM