Shiha Zikir
Shiha Zikir
Suhaila Khairie

 

Kuala Lumpur: Penyanyi, Shiha Zikir, 36, bersyukur karya etnik nyanyiannya berjudul Kalam berjaya lolos ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38).

Menurutnya, dua buah lagu dipertaruhkan pada peringkat Semifinal Muzik-Muzik Ke-38 (SFMM38), namun hanya satu lagu nukilannya bersama komposer muda Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves berjaya mara ke saingan berprestij itu.

"Sebenarnya dari peringkat separuh akhir lagi Shiha berasa sebak dan terharu kerana ramai peminat sedar kewujudan lagu Kalam dan mengundinya hingga ke tahap ini.

"Sekarang ni bila layak ke AJL, rasa gembira dan bersemangat memandangkan lagu ini sangat bermakna buat Shiha kerana ia sebuah lagu tradisional fusion.

"Shiha memang nak sangat lagu-lagu berentak tradisional macam ni layak terpilih ke peringkat tertinggi seperti AJL," katanya.

Ditanya mengenai cemuhan segelintir warganet yang melabelkan Kalam sebagai lagu sendu, Shiha mendedahkan prinsipnya tetap terarah kepada mementingkan kualiti berbanding kuantiti.

"Jika benar sambutan sendu, tak mungkin lagu ini akan dipilih sebagai 30 karya pada peringkat separuh akhir kerana ia perlukan undian yang cukup daripada peminat untuk berada di SFMM," katanya.

Sementara itu, Shiha juga menepis dakwaan berkenaan beberapa pihak yang mempertikaikan penyertaannya ke peringkat akhir AJL38 yang disifatkan terlalu kerap sejak AJL35.

"Kali pertama saya sertai AJL35 adalah untuk menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu 7 Nasihat.

"Kemudian pada edisi AJL36 buat julung kalinya saya berjaya ke pentas akhir dengan lagu nyanyian sendiri iaitu AEWO bersama Noki.

"Tahun lepas pula adalah yang kedua kalinya menerusi lagu Irama. Itupun saya cuma menang kategori Persembahan Terbaik, bukannya menang keseluruhan," katanya.

Susulan itu, dia meletakkan AJL sebagai penanda aras ketika menghasilkan karya baharu bagi memastikan semua lagu yang dihasilkan berkualiti selain memenuhi cita rasa pendengar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 10:47 AM