TORQUE Six kini tampil dengan album sulung Pun Intended.
TORQUE Six kini tampil dengan album sulung Pun Intended.
Ridzuan Abdul Rahman

TERPILIH sebagai artis pembuka pentas untuk konsert Wings sempena Kuala Lumpur Bike Show 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Ogos lalu menjadi satu kenangan indah buat Torque Six.

Kumpulan indie ditubuhkan pada 2015 dianggotai Akmal (vokal), Kamal (gitar utama), Sham (gitar kedua), Imran (bass) dan Paqa (drum) menganggap ia bagai impian menjadi kenyataan apabila dapat beraksi sepentas dengan kumpulan legenda ini.

"Kami berbesar hati dan berterima kasih kepada penganjur kerana beri peluang untuk kumpulan indie seperti kami mengetengahkan muzik tersendiri kepada khalayak yang datang pada malam itu. Kami betul-betul rasa bersyukur.

"Kami berpeluang sampaikan lima lagu dan bersedia terima apa saja kritikan kerana muzik yang dipersembahkan berbeza dari segi genre dan mungkin tak selari dengan penonton yang majoritinya peminat tegar kumpulan Wings.

"Namun sangkaan kami meleset apabila penonton memberi komen positif terhadap persembahan kami," kata Akmal membuka cerita.

Paling istimewa apabila Datuk Awie beri kata-kata semangat kepada mereka sebelum memulakan persembahan sebagai pembuka pentas malam itu.

"Saya begitu gembira Datuk Awie bagi kata-kata semangat dan dia suruh kami anggap konsert ini seperti konsert kami sendiri. Kami sematkan dalam kepala sebelum mula persembahan dengan objektif untuk beri yang terbaik.

ANGGAP beraksi sebagai pembuka pentas Konsert Wings pada Ogos lalu sebagai mimpi jadi kenyataan.
ANGGAP beraksi sebagai pembuka pentas Konsert Wings pada Ogos lalu sebagai mimpi jadi kenyataan.

"Tidak semua boleh kami puaskan seratus peratus dalam apa jua situasi sekalipun. Kami sebagai pemuzik bersikap profesional dan ambil segala kritikan secara sudut pandang positif untuk menjadi pemangkin supaya dapat berikan yang lebih baik daripada sekarang. Secara tak langsung, Torque Six sudah mula dikenali di platform arus perdana," katanya.

Menurut Akmal lagi, mereka sudah tiga kali membuat rombakan pertukaran anggota dan tampil dengan album berkonsep alternatif rock menjadikan kumpulan muzik barat seperti My Chemical Romance, Linkin Park sebagai rujukan muzik mereka.

"Bagaimanapun kami juga tak melupakan kumpulan rock tempatan antaranya Wings dan Search yang mempengaruhi muzik yang kami bawakan.

"Bukan mudah bergerak sebagai sebuah kumpulan kerana pelbagai halangan kami lalui. Tapi, semangat kami tak pernah luntur. Berbekalkan semangat tinggi, kami akhirnya berjaya mengeluarkan album berjudul 'Pun Intended'.

"Lapan tahun bukan jangka masa yang singkat namun persefahaman jitu sesama ahli menjadi faktor utama kami masih ada dalam industri," katanya.

Bercerita lanjut, Akmal menjelaskan kekurangan dana kerana modal sendiri menjadi punca utama album mereka lambat disiapkan.

"Album ini disiapkan menerusi konsep Do It Yourself (DIY) daripada setiap anggota dengan kreativiti tersendiri. Ia bukan mudah kerana perlu ambil masa memandangkan masing-masing ada kerjaya dan komitmen tersendiri.

"Album ini tampil dengan lapan lagu berbahasa Melayu dan dua lagu berbahasa Inggeris. Torque Six cuba mengadunkan ramuan muzik agar menjadi sajian istimewa buat peminatnya.

"Sebanyak 99 peratus lagu dalam album ini dimainkan sendiri oleh kami dan hanya sedikit mendapat bantuan pemuzik luar," katanya.

Album 'Pun Intended' boleh distrim secara digital melalui platform strim popular seperti Spotify, Apple Music, Deezer, YouTube dan lain-lain.

Peminat Torque Six juga boleh mendapatkan rilisan fizikal (booklet) melalui Shopee dengan pautan boleh didapati di semua media sosial mereka dan juga boleh DM secara terus di media sosial Torque Six untuk pembelian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 6:20 AM