Beego dan isteri, Linda Hashim
Beego dan isteri, Linda Hashim
Najiy Jefri


Shah Alam: "Dia tak pernah menduakan saya. Kami ada masalah lain dan tak boleh kongsi sebab terlalu berat untuk dikongsikan."

Demikian kata pelakon Linda Hashim, 39, yang tidak pernah berdepan masalah poligami seperti isu yang sedang hangat diperkatakan di media sosial ketika ini.

Linda atau nama sebenarnya, Norhazlinda Hashim berkata suaminya yang juga pelakon Beego tidak pernah berlaku curang sejak mereka mendirikan rumah tangga lebih 10 tahun yang lalu.

"Beego tak pernah buat saya seperti ini. Tapi kalau benda itu (berkahwin dua) jadi, saya tak boleh nak buat apa sebab ia tidak dilarang dalam Islam.

"Dia boleh buat sekiranya mampu. Kalau saya nak berperang pun tapi kalau dia mampu, untuk apa? Bukan tempat saya untuk berperang, kalau benda lain yang tak sepatutnya, kita boleh berperang. Pasal ini saya tak boleh komen lebih," kata Linda ditemui pada majlis Santai Selebriti Bersama Mufti Selangor di kediaman pelakon Diana Rafar dan Zamarul Hisham, semalam.

Terdahulu, Linda dan suaminya juga pelakon Beego atau nama sebenarnya, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 43, mengesahkan mereka pernah bercerai talak satu pada 27 Mac lalu, namun rujuk semula ketika masih dalam tempoh edah pada 9 April lalu.

Ditanya mengenai rumah tangga yang sudah kembali pulih, Linda berkata, dia enggan berkongsi lebih lanjut mengenai keluarganya namun cukup sekadar orang mengetahui hubungan mereka sudah baik.

"Setakat yang semua tahu, kami sudah kembali bersama. Itu saja yang saya boleh kongsi. Sudah tiada apa yang saya perlu kongsi mengenai keluarga saya.

"Waktu kami mahu berpisah itu pun tiada siapa tahu, sebab memang saya tidak bercerita dan bukan tempat saya untuk bercerita pada semua.

"Orang tahu pun secara tidak sengaja. Itu pun orang dapat hidu selepas kami sudah rujuk semula. Waktu itu saja saya bercerita mengenai rumah tangga dan sampai itu saja. Alhamdulillah kami baik, doakan.

"Tapi saya akui memang ada berbeza sikit keadaan sekarang berbanding sebelum ini, mungkin sebelum ini kami kurang komunikasi dan kami sudah perbaiki," katanya.

Terdahulu, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 9, Anggun Cassandra, 8, dan Indah Camelia, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 7:17 PM